KUALA LUMPUR, 7 November – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, menegaskan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat perlu diberi perhatian serius kerana sebahagian kandungannya dilihat berpotensi memberi kesan kepada kuasa kerajaan dalam menentukan dasar negara.
Berucap ketika perbahasan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, beliau berkata pendekatan 'whole of government' seperti yang disebut kerajaan memberi gambaran bahawa semua agensi termasuk Jabatan Peguam Negara telah dirujuk sebelum perjanjian dimeterai.
Namun, katanya kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara sembilan hari selepas itu hanya menyentuh aspek penamatan perjanjian, sedangkan banyak lagi perkara lain belum diperjelas.
“Persoalannya, bila dirujuk dan apa nasihat perundangan yang diberi? Banyak perkara dalam perjanjian tersebut dikritik sebagai menggugat kedaulatan negara bukan sahaja oleh pembangkang, tetapi juga sebahagian pihak kerajaan dan pakar-pakar ekonomi di luar,” katanya.
Beliau turut menyatakan kebimbangan bahawa ART boleh memberi kesan kepada institusi penting yang menjadi tulang belakang pembangunan ekonomi Bumiputera.
“Ada kandungan perjanjian yang melarang kerajaan memberi bantuan bukan komersial atau subsidi kepada institusi tertentu. Sedangkan MARA, PETRONAS, FELDA dan lain-lain mempunyai peranan besar dalam memperkasa ekonomi Bumiputera.”
Katanya, jika kerajaan terikat dengan larangan tersebut, ia secara tidak langsung boleh menyentuh kedudukan hak-hak yang dijamin Perlembagaan, termasuk usaha memperkukuh daya saing ekonomi Bumiputera.
Dalam sesi sama, Ahli Parlimen Kuala Terengganu mencelah mengenai kesan exit clause ART.
Menjawab perkara itu, YB Besut menjelaskan 'termination' itu perlu diteliti.
“Ada tersurat dan tersirat. Apa kesan kalau termination dibuat? Disaman ke dan sebagainya. Itu semua mesti diperjelaskan,” kata beliau.
Suasana Dewan bagaimanapun menjadi tegang apabila Che Zulkifly menyentuh mengenai pelantikan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng sebagai Pengerusi Kehormat ASEAN-China Association for the Promotion of Industrial Cooperation and Development, walaupun sedang berdepan prosiding mahkamah.
Ketika itu, Ahli Parlimen Jelutong bangkit membantah dan meminta perkara itu tidak dibangkitkan atas alasan ia menyentuh kes yang sedang berjalan, namun beliau menegaskan tidak menyebut fakta kes.
“Saya tak tarik. Saya bercerita pasal dia dituduh di mahkamah. Bukan saya bicarakan tentang fakta,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan tindak tanduk 'double standard' dalam Dewan.