HULU TERENGGANU, 9 Nov – Program Ajil Fun Walk 2025 yang berlangsung meriah pagi semalam berjaya menarik penyertaan lebih 1,000 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat sekitar Hulu Terengganu.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil itu bermula seawal jam 7.30 pagi di dataran Ajil Trade Centre dengan pelepasan peserta disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim.

Menurut Maliaman, program tersebut bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
“Kita mahu masyarakat Ajil hidup sihat, ceria dan bersatu. Sambutan kali ini sangat luar biasa, menunjukkan semangat komuniti yang tinggi,” katanya ketika ditemui selepas acara pelepasan.
Peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk golongan muda, keluarga dan warga emas berjalan santai sejauh hampir lima kilometer melalui laluan sekitar pekan Ajil sambil menikmati suasana pagi hujung minggu yang ceria.
Pelbagai aktiviti sampingan turut memeriahkan program seperti senam aerobik, cabutan bertuah, dan pameran kesihatan yang disertai beberapa agensi tempatan.
Peserta bertuah turut membawa pulang pelbagai hadiah menarik termasuk 'gold bar', peralatan elektrik dan hamper.
Program yang mendapat sambutan menggalakkan itu turut disertai oleh kelab belia, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama menjayakan usaha memupuk gaya hidup sihat dan memperkukuh perpaduan komuniti setempat.