KUALA LUMPUR, 3 Februari – Kerajaan Persekutuan digesa menghentikan amalan ‘double standard’ dalam pengagihan dana pembangunan, khususnya melibatkan projek infrastruktur kritikal di negeri-negeri Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Alias Razak, berkata pendekatan agihan dana ketika ini dilihat tidak berasaskan keperluan sebenar rakyat, sebaliknya dipengaruhi pertimbangan politik.
Beliau menegaskan, Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) masih belum disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) mahupun Belanjawan 2026, walaupun kajian awal projek itu telah disiapkan sejak Ogos 2022.
“Rakyat Pantai Timur terus menunggu hampir dua dekad sejak RMK-9. Namun jawapan yang diberikan hanyalah cadangan penswastaan dengan kos mencecah RM9.8 bilion.
“Adakah wajar nasib 3.14 juta penduduk Terengganu dan Kelantan dibebankan dengan tol, sedangkan projek lain mendapat pembiayaan penuh Kerajaan Pusat?” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Titah Diraja.
Mengulas lanjut, Dr. Alias membandingkan situasi tersebut dengan projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang yang dilaporkan melonjak kos kepada RM17.3 bilion, namun menerima pembiayaan sepenuhnya daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, perbandingan itu membuktikan wujudnya ketidakseimbangan pengagihan fiskal yang bersifat terpilih dan tidak adil terhadap negeri-negeri Pantai Timur.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan isu pembangunan sektor maritim apabila Pelabuhan Kemaman didakwa dilayan seperti ‘anak tiri’ berbanding Pelabuhan Kuantan.
“Pelabuhan Kuantan menerima lebih RM1 bilion geran infrastruktur bagi pembinaan pemecah ombak, sedangkan Pelabuhan Kemaman hanya bergantung kepada pelaburan GLC negeri melalui EPIC Berhad bernilai RM3 bilion tanpa sebarang peruntukan Persekutuan.
“Terengganu menyumbang hasil petroleum yang besar kepada negara, namun dinafikan peruntukan infrastruktur kritikal,” katanya.