 
        
        
    SETIU, 31 Oktober - Abdul Hadi Che Abdul Halim, dari Kuala Terengganu, dinobatkan sebagai Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2026, manakala Nor Jannah Abd Rahman, dari Setiu, muncul Johan Qariah.
Pada majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Abdul Hadi memperoleh markah 96.16 peratus, manakala Nor Jannah 95.74 peratus, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 dan piala.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha kerajaan negeri, Dato' Nara Setia serta Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Abdul Hadi dengan kemenangan kelima pada kali ini mengakui bahawa masih terdapat ruang untuk diperbaiki, khususnya dari segi mutu bacaan dan kefahaman terhadap ilmu tajwid.
"Dalam tilawah al-Quran ini adalah juga untuk saya memperbaiki lagi bacaan al-Quran saya dengan (bacaan) yang lagi baik kerana saya masuk tilawah al-Quran ini daripada sekolah sehinggalah sekarang banyak kalilah bertanding.
"Namun, masih lagi banyak perlu perbaiki dari segi sebutan huruf yang betul, tajwid dan juga taranumnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.
"Dan insya-Allah, target di peringkat kebangsaan untuk saya buat yang terbaik dalam bacaan saya iaitu memperkemas lagi dari sudut suara. Suara dan makhraj.
"Mungkin yang lain tu mungkin saya boleh dapat buat tapi dari segi suara tu perlu perbaiki lagi untuk tingkatkan yang lebih baik," jelasnya.
Katanya, antara faktor terbesar yang memberi dorongan dan semangat kepada perjuangannya dalam bidang ini datang daripada kedua orang tuanya.
"Saya masuknya (bertanding) atas dorongan ayah saya. Dorongan ayah ibu dan termasuk kembar saya (Johan Qariah Peringkat Negeri Terengganu 2024, Nor Hidayah Abd Rahman).
"Harapan saya untuk semoga terus istiqamah dalam bidang al-Quran dan bidang taranum ini serta tak lupa diri. Insya-Allah, hingga sampai ke peringkat antarabangsa," ujarnya.
 
                 
                                             
                                             
                                             
                                             
                                             
                                            