lightning-solid
Berita :
Abdul Hadi Dedikasi Kemenangan Kelima Untuk Martabatkan Syiar Al-Quran
Abdul Hadi Dedikasi Kemenangan Kelima Untuk Martabatkan Syiar Al-Quran
Ahmad Zaeem Zainudin
8 jam yang lepas
53

SETIU, 31 Oktober - Kemenangan kali kelima Abdul Hadi Che Abdul Halim sebagai Johan Qari Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu bukan sahaja menjadi satu pencapaian peribadi, tetapi juga tekad berterusan untuknya memartabatkan syiar al-Quran dan melahirkan generasi pelapis.

Beliau yang juga merupakan tenaga pengajar di Akademi al-Quran Al-Hadi, Gong Badak berkata, kemenangan itu adalah anugerah Allah SWT yang memberi kekuatan kepadanya untuk terus memperbaiki mutu bacaan dan menyebarkan ilmu kalamullah kepada masyarakat.

"Alhamdulillah, pertama sekali syukur kepada Allah SWT di atas kurniaannya pada malam ini. Kemenangan saya kali yang kelima setelah 2019, 2020, 2023 dan 2024 dan kali ini Allah SWT beri lagi anugerah pada 2026.

"Saya nampak dengan masuk tilawah al-Quran ini, saya dapat memartabatkan lagi syiar al-Quran kalamullah dan juga untuk diri saya yang sentiasa dapat mempelajari al-Quran sehinggalah selamanya," katanya.

Juara Qari itu berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 1447H/2025M di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, malam tadi.

Abdul Hadi yang menerima hadiah bernilai RM8,000 dan piala berkata, penyertaannya dalam tilawah bukan semata-mata mengejar gelaran tetapi sebagai ruang untuk memperbaiki sebutan huruf, tajwid serta taranum bagi meningkatkan mutu bacaan.

Beliau turut berkongsi peranan aktifnya mendidik generasi muda dalam bidang al-Quran melalui akademi yang diasaskan olehnya.

"Saya juga memartabatkan al-Quran ini dengan saya mengajar di Akademi al-Quran Al-Hadi untuk melahirkan pelapis-pelapis qari cilik dan qari-qari di bawah naungan Akademi al-Quran Al-Hadi.

"Untuk terus melahirkan qari qariah yang hebat di peringkat negeri dan terus kepada kebangsaan serta antarabangsa, insya-Allah," ujarnya dengan penuh harapan kepada pemberita.

Hadi menambah, penyertaan berterusan dalam tilawah sejak zaman persekolahan banyak membantunya memperbaiki kelemahan dan mengasah kemampuan suara serta makhraj untuk bacaan yang lebih sempurna.


Artikel Berkaitan