KUALA TERENGGANU, 14 Jun - Seramai 93 warga Myanmar etnik Rohingya dikesan melakukan pelbagai kesalahan jalan raya dalam Ops Khas PEWA (Rohingya) 2026 yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu sejak 1 Jun lalu.
Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata, antara kesalahan utama dikenal pasti ialah memandu tanpa lesen memandu yang sah, selain menggunakan kenderaan tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans.
Katanya, keadaan itu membimbangkan kerana bukan sahaja melanggar undang-undang, malah turut meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain.
“Daripada keseluruhan tindakan yang diambil, seramai 93 warga Myanmar dikenal pasti melakukan pelbagai kesalahan berkaitan penggunaan kenderaan di jalan raya.
“Antara kesalahan utama yang dikesan ialah memandu tanpa lesen yang sah, selain menggunakan kenderaan tanpa LKM dan insurans.
“Keadaan ini membimbangkan kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah meningkatkan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas Ops Khas PEWA (Rohingya) 2026 di Pejabat JPJ Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini.
Dalam operasi yang dijalankan sejak awal bulan ini, JPJ Terengganu menyita 114 kenderaan dan mengeluarkan 559 notis saman atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Zamri berkata, operasi khas itu dilaksanakan bagi membanteras kesalahan pemanduan tanpa lesen sah, ketiadaan LKM serta perlindungan insurans.
Menurutnya, siasatan turut mendapati terdapat segelintir warga asing menggunakan kenderaan persendirian yang disewa atau dipinjam daripada pemilik tempatan untuk tujuan pekerjaan dan urusan harian.

Beliau berkata, tindakan pemilik tempatan yang menyewakan atau menjual kenderaan tanpa melaksanakan proses pemindahan milik secara sah turut menyumbang kepada peningkatan kesalahan berkenaan.
“JPJ memandang serius perkara ini kerana ia mewujudkan satu ekosistem yang boleh menjejaskan keselamatan jalan raya.
“Risiko menjadi lebih besar sekiranya berlaku kemalangan melibatkan kenderaan yang tidak mempunyai perlindungan insurans atau dipandu individu tanpa kelayakan,” katanya.
Zamri bagaimanapun menegaskan, operasi itu tidak menyasarkan mana-mana golongan secara khusus.
Sebaliknya, jelas beliau, tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan maklumat risikan dan aduan awam yang diterima pihaknya.
Katanya, JPJ menerima banyak aduan berkaitan pemandu warga asing yang didakwa menimbulkan risiko keselamatan di beberapa laluan dan kawasan tertentu di negeri ini.
Dalam operasi sama, JPJ turut menggunakan kaedah penyamaran di lokasi tumpuan seperti kawasan kampung, pasar dan tempat kerja bagi mengesan kesalahan yang sukar dikenal pasti melalui operasi biasa.
“Hasil pemantauan mendapati sebahagian kenderaan persendirian digunakan untuk aktiviti kontraktor, penghantaran barangan dan pengangkutan penumpang tanpa kebenaran sewajarnya.
“Walaupun terdapat pihak yang cuba berkongsi maklumat sesama mereka bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan, JPJ akan terus memperkukuh operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyewakan, meminjamkan atau menjual kenderaan kepada individu lain tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.
Katanya, tindakan sedemikian boleh mengundang implikasi undang-undang selain mewujudkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.
Tag :