Berita :
71 Lesen Sampan Nelayan Diserahkan, Pulihkan Kepercayaan Nelayan
71 Lesen Sampan Nelayan Diserahkan, Pulihkan Kepercayaan Nelayan
Rohayati Ripin
03 Mar 26
25

KUALA TERENGGANU, 3 Mac – Seramai 71 nelayan sekitar Kemaman menerima Lesen Sampan Nelayan dalam usaha memastikan mereka dapat menjalankan aktiviti menangkap ikan secara sah dan lebih terjamin.

Penyerahan lesen tersebut diadakan dalam satu majlis ringkas di Pengkalan Nelayan Kijal, melibatkan peserta dari beberapa pengkalan termasuk Geliga, Chukai, Kerteh dan Kijal.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani , Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri, Dato Dr Azman Ibrahim berkata, masih terdapat nelayan khususnya di Pengkalan Kijal yang tidak memiliki lesen walaupun operasi Task Force Lesen Sampan Nelayan telah digerakkan sejak 2019.

Menurut beliau, situasi itu berlaku kerana sebahagian nelayan tidak memohon pada ketika itu berikutan kurang keyakinan bahawa masalah mereka dapat diselesaikan.

"Puncanya kerana ramai yang tak memohon ketika itu. Kenapa tak mohon? Dulu mereka tak percaya bahawa kita mampu selesaikan masalah ini. Situasi ini biasa saja kerana bukan mudah nak mengembalikan kepercayaan nelayan yang telah ditipu sejak sekian lama. 

"Kini bila mereka telah memohon maka Kerajaan Negeri wajib bantu sebaiknya. Perkara yang lepas biarkan berlalu," jelasnya dalam laman sosialnya, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perikanan Malaysia atas kerjasama memastikan proses permohonan dan kelulusan berjalan lancar.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Razali Idris, ADUN Kemasik, Saiful Azmi Suhaili, dan kepimpinan tempatan.

Penyerahan lesen ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasa komuniti nelayan, selain memastikan mereka dapat menjalankan aktiviti menangkap ikan secara sah dan lebih terjamin dari segi perlindungan undang-undang.

"Kita nak tengok nelayan gembira dan ceria. Terima kasih semua nelayan yang dikasihi. Anda adalah wira sejati yang layak dihargai," tambah beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan