lightning-solid
Berita :
450 Keluarga Terima Sumbangan Aidilfitri PETRONAS di Terengganu
450 Keluarga Terima Sumbangan Aidilfitri PETRONAS di Terengganu
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
48

KUALA TERENGGANU, 3 Mac – Seramai 450 keluarga di Terengganu bakal menerima sumbangan perayaan berupa barangan makanan asas dan hamper kuih raya menerusi program tanggungjawab sosial korporat anjuran PETRONAS bersama Yayasan PETRONAS.

Sumbangan tersebut diagihkan kepada penerima terpilih di enam daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut, sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, pihaknya berharap bantuan itu dapat menambahkan keceriaan penerima dalam menyambut Syawal.

Menurutnya, program yang dianjurkan saban tahun tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Yayasan PETRONAS untuk membantu meringankan beban golongan memerlukan khususnya menjelang musim perayaan.

"Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini dapat menambahkan keceriaan kepada tuan-tuan dan puan-puan semua untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

"Kami berbesar hati dapat bertemu dan menyampaikan sumbangan ini secara langsung kepada masyarakat," katanya di Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri di Hotel Primula semalam.

Tambah beliau, inisiatif itu dilaksanakan di bawah Pengurusan Impak Sosial PETRONAS yang berteraskan tiga fokus utama iaitu Memacu Kehidupan, Memperkasakan Ilmu dan Menyemai Masa Hadapan, yang menjadi tunjang kepada usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat.

Dalam pada itu, Mohammad Ahmad Shazly turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat atas kerjasama memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Azmi Mohamed Daham berkata, kerajaan negeri menyambut baik komitmen berterusan PETRONAS yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.

Beliau berharap program 'Memacu Kehidupan (Uplifting Lives) Aidilfitri Terengganu' itu bukan sahaja menceriakan sambutan perayaan penerima, malah terus mengukuhkan kedudukan jenama PETRONAS sebagai syarikat yang dekat di hati rakyat negeri berkenaan.

"Adalah menjadi harapan agar program bermakna ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang demi kesejahteraan golongan berpendapatan rendah," ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan