Berita :
266 Peserta Sertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana
266 Peserta Sertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana
Norekwan Mamat
07 Jun 26
260

BESUT, 7 Jun – Seramai 266 peserta daripada 27 pusat pengajian Al-Quran seluruh DUN Hulu Besut menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana 2026 yang berlangsung di Masjid As-Syakirin, Pasir Akar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin menyifatkan program berkenaan sebagai bukti komitmen masyarakat dalam memartabatkan pengajian Al-Quran dan melahirkan generasi yang cintakan ilmu serta berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja menandakan kejayaan para peserta menamatkan bacaan Al-Quran, malah menjadi platform untuk menyemarakkan budaya membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan kitab suci itu dalam kehidupan seharian.

“Program ini bukan sahaja menjadi simbol kejayaan para peserta menamatkan bacaan Al-Quran, malah menjadi platform untuk menyemarakkan budaya membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan.

Justeru itu, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan penghayatan Al-Quran dalam kalangan masyarakat dan melahirkan generasi yang istiqamah, berilmu, beriman serta berakhlak mulia. 

Husaimi turut merakamkan penghargaan kepada para juru khatam daripada Pejabat Agama Daerah Besut, imam-imam masjid, guru-guru Al-Quran dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Antara agensi dan organisasi yang terlibat ialah Kelab Prihatin Hulu Besut, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Besut, Pejabat Daerah Besut, Pejabat Agama Daerah Besut, Yayasan Islam Terengganu (YIT), Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), iMITS, UPDI dan JPKK. 



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan