Berita :
YPU Santuni Peniaga Stesen Bas MBKT, Cari Kaedah Hidupkan Semula Kawasan Nostalgia
YPU Santuni Peniaga Stesen Bas MBKT, Cari Kaedah Hidupkan Semula Kawasan Nostalgia
Ahmad Zaeem Zainudin
18 jam yang lepas
1042

KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Deretan kedai di tingkat atas Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mungkin tidak lagi semeriah era 1990-an, namun kawasan itu masih menyimpan nilai nostalgia yang cukup dekat dengan warga bandar raya ini.

Suatu ketika dahulu, lokasi berkenaan pernah menjadi antara tumpuan utama orang ramai, bukan sahaja sebagai pusat persinggahan pengangkutan awam, malah tempat mencari pelbagai keperluan harian.

Sempena sambutan Hari Pekerja 2026, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu mengambil pendekatan turun padang dengan mengadakan Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Makan Tengah Hari bersama para peniaga di bangunan penuh sejarah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, program tersebut bukan sekadar pertemuan santai, sebaliknya menjadi ruang mendengar sendiri pandangan serta keluhan peniaga yang sudah lama mencari rezeki di kawasan berkenaan.

“Jadi kami memilih untuk mengadakan pertemuan dan diskusi secara langsung serta tidak langsung bersama peniaga di sini.

“Insya-Allah, selepas ini kita boleh bincang lagi. Hari ini kita adakan sedikit jamuan yang dihoskan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu,” katanya.

Menurut Ariffin, kawasan tersebut mempunyai sejarah tersendiri dalam perkembangan bandar Kuala Terengganu, khususnya selepas perpindahan operasi dari stesen bas lama pada tahun 1994.

“Tempat ini agak nostalgia. Tahun 1994, ia berpindah daripada stesen bas lama. Dahulu peniaga berniaga di sekeliling kawasan stesen bas sahaja.

“Sebenarnya tempat ini comel dan menarik,” katanya ketika mengimbau kembali zaman kegemilangan pusat berkenaan.

Beliau berkata, walaupun suasananya tidak lagi serancak dahulu, premis di tingkat atas itu masih mempunyai pelanggan setia terutama bagi perkhidmatan jahitan, pakaian serta kelengkapan majlis.

Jelasnya, kerajaan negeri akan terus melihat pendekatan sesuai untuk membantu menghidupkan semula kawasan berkenaan, termasuk kemungkinan menganjurkan acara khas yang mampu menarik semula kehadiran orang ramai.

“Mungkin selepas ini kita akan fikirkan satu acara, sama ada bersifat tahunan atau sebaliknya.

“Kita perlu fikir sesuatu yang istimewa untuk membangunkan semula kawasan ini. Insya-Allah, pihak kami akan bekerjasama dengan MBKT dan saya juga akan berbincang dengan exco berkaitan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ariffin turut memohon agar para peniaga bersamaa-sama kerajaan dalam menyelesaikan semua isu yang timbul.

“Masing-masing perlu memainkan peranan untuk menyelesaikan isu-isu yang berlaku di sini,” tegasnya.


Ketupat

Artikel Berkaitan