Berita :
Harga Tiket Bas Naik, Terengganu Mahu Isu Dibawa Ke Parlimen
Harga Tiket Bas Naik, Terengganu Mahu Isu Dibawa Ke Parlimen
Adli Mohamad
11 jam yang lepas
214

KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Kerajaan Terengganu mahu isu kenaikan harga tiket bas yang berlaku sejak 1 Mei lalu dibawa ke Sidang Parlimen bagi mencari penyelesaian terbaik untuk rakyat dan industri pengangkutan awam.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, perkara itu antara cadangan yang akan dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Menurutnya, kenaikan tambang bas bagi beberapa laluan tertentu dilihat agak ketara apabila tiket yang sebelum ini sekitar RM40 kini mencecah sehingga RM60.

“Kita telah turun ke lapangan di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) malam ini bagi mendengar sendiri luahan pengusaha bas, termasuk pengusaha bas premium dan bas biasa.

“Mereka berdepan kenaikan kos operasi, manakala pengguna pula terkesan dengan kenaikan harga tiket. Jadi isu ini perlu dilihat secara menyeluruh supaya ada penyelesaian yang adil kepada semua pihak.

“Kita akan maklumkan kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu agar perkara ini dapat dibawa dalam Sidang Parlimen nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni pemandu bas dan teksi di Stesen Bas MBKT sempena sambutan Hari Pekerja, di sini, semalam.

Program itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, program berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada golongan pekerja, khususnya pemandu bas dan teksi yang terus memainkan peranan penting dalam sektor pengangkutan awam.

Katanya, walaupun program itu berskala sederhana, ia membawa mesej jelas bahawa kerajaan negeri tidak meminggirkan suara pekerja di lapangan.

“Program ini mungkin tidak besar, tetapi ia menunjukkan kerajaan negeri mengambil tahu hal kebajikan pekerja, terutama pemandu bas dan teksi yang ketika ini berdepan pelbagai cabaran.

“Kita ambil peluang ini untuk mendengar sendiri luahan mereka, bukan sekadar datang bertemu, tetapi melihat apa isu sebenar yang boleh dibantu,” katanya.

Tambah beliau, isu pengangkutan awam bukan hanya melibatkan pengusaha dan pemandu, sebaliknya turut memberi kesan langsung kepada rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan bas sebagai pengangkutan utama.

“Apabila kos operasi meningkat, pengusaha tertekan. Apabila tambang naik, rakyat pula terbeban. Sebab itu isu ini perlu dibincangkan di peringkat lebih tinggi supaya penyelesaian yang dicapai tidak menekan mana-mana pihak,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan