KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Debaran pelumba, sorakan penonton dan semangat rakyat Terengganu bergema semula apabila edisi keempat Tour Gateh D’Tranung (TGDT 25) membuka tirai dengan penuh warna-warni dan kebanggaan di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.
Kejohanan yang menjadi ikon sukan berbasikal negeri, bukan sekadar pertandingan fizikal, tetapi lambang kesungguhan dan kedewasaan Terengganu sebagai penganjur acara bertaraf antarabangsa. Dengan laluan sejauh hampir 900 kilometer merentasi lapan daerah, TGDT 25 menjanjikan cabaran baharu buat pelumba profesional dari dalam dan luar negara.
Majlis pelancaran dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, yang turut menyifatkan TGDT sebagai medan memperkukuh reputasi Terengganu dalam dunia sukan dan pelancongan.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.

Antara yang mengambil bahagian termasuk Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling Team, PDRM Cycling Team, The Wing’s Asia Cycling Academy (Jepun), Grant Thornton Cycling Team (Thailand), Bryton Cycling Team (Taiwan), Velofit Australia Team (Australia), Global Cycling Team (Belanda) dan Ride Revolution Coaching (Great Britain).
Perlumbaan peringkat pertama akan bermula dengan Team Time Trial (TTT) di Kuala Nerus sejauh 24 kilometer pada Isnin, 27 Oktober, manakala peringkat kelapan akan menutup tirai dengan Kuala Terengganu Night Criterium sejauh 66 kilometer pada 13 November 2025.
Kejohanan yang mendapat kerjasama erat pelbagai pihak itu turut menerima tajaan utama daripada Syarikat Raudah Cahaya, disertai agensi kerajaan negeri, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan swasta.