Berita :
Perpecahan Umat Buka Jalan Dominasi Kuasa Luar - Duta Iran
Perpecahan Umat Buka Jalan Dominasi Kuasa Luar - Duta Iran
Husaif Mamat
4 jam yang lepas
70

KUALA NERUS, 7 April - Perpecahan dalam kalangan umat Islam dikenal pasti sebagai punca utama kelemahan dunia Islam, sekali gus membuka ruang kepada dominasi kuasa luar terhadap nasib dan sumber negara-negara umat.

Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Waliullah Mohammadi Nasrabadi berkata, keadaan itu bukan berpunca daripada kekurangan kekuatan, sebaliknya akibat kegagalan umat Islam untuk bersatu di bawah satu kefahaman yang jelas.

“Perpecahan umat adalah faktor utama yang membolehkan kuasa luar menguasai masa depan dan sumber negara-negara Islam,” katanya ketika berucap pada Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 di sini baru-baru ini. 

Menurut beliau, terdapat dua faktor utama yang menghalang pembentukan perpaduan ummah, iaitu faktor dalaman dan luaran.

“Faktor dalaman termasuk sikap ekstrem dalam beragama serta kejahilan terhadap asas kepercayaan sesama umat Islam.

“Manakala faktor luaran pula adalah campur tangan kuasa asing yang menggunakan strategi ‘pecah dan perintah’ bagi mencetuskan konflik antara mazhab dan kelompok,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu Palestin perlu dijadikan paksi utama dalam usaha menyatukan umat Islam di seluruh dunia.

“Palestin bukan sekadar isu politik, tetapi simbol keadilan dan penyatuan ummah. Republik Islam Iran tidak pernah berganjak dalam menyokong rakyat Palestin walaupun berdepan tekanan berterusan selama lebih empat dekad,” katanya.

Dalam pada itu, Nasrabadi mendedahkan bahawa Iran telah menunjukkan komitmen terhadap usaha diplomasi, termasuk menyertai rundingan dengan Amerika Syarikat pada Jun 2025.

Namun, katanya, dalam tempoh rundingan tersebut, Iran telah diserang oleh rejim Zionis yang didakwa berusaha menggagalkan sebarang kestabilan di rantau Asia Barat.

“Dalam konflik selama 12 hari itu, Iran mempertahankan diri sehingga memaksa pihak lawan memohon gencatan senjata,” ujarnya.

Beliau berkata, serangan tersebut telah menyebabkan kemusnahan besar termasuk puluhan ribu kediaman, ratusan kemudahan kesihatan dan sekolah, serta mengorbankan ribuan nyawa termasuk wanita dan pelajar.

Walaupun berdepan tekanan hebat, katanya, rakyat Iran kekal teguh mempertahankan negara dan prinsip mereka.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan konsisten terhadap Iran, khususnya dalam isu-isu melibatkan dunia Islam.

“Sokongan Malaysia akan sentiasa dikenang dalam sejarah hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan