Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir, Persiapan Sejak Tiga Bulan Lalu
Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir, Persiapan Sejak Tiga Bulan Lalu
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
67

KUALA TERENGGANU, 11 November – Kerajaan Terengganu telah membuat persiapan sejak dua hingga tiga bulan lalu bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persiapan itu merangkumi penyelarasan di semua daerah termasuk mesyuarat bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta agensi berkaitan.

Menurutnya, bekalan makanan juga telah tiba di negeri ini, manakala aset penting termasuk bot dan kelengkapan lain berada dalam keadaan siap siaga untuk digunakan sekiranya berlaku banjir.

"Sejak 2, 3 bulan lalu persiapan telah dilakukan. Kita tidak nafikan bahawa kita sentiasa melihat kepada ramalan cuaca. Kalau mengikut ramalan, sepatutnya hari ini mungkin berlaku banjir sejak awal pagi tadi.

"Tetapi kita lihat suasana agak berbeza. Jadi, kita sentiasa bersedia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Replika Cek Bayaran Keuntungan TDM Berhad kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil mudah risiko banjir meskipun keadaan cuaca ketika ini tidak seperti yang diramalkan.

Katanya, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal termasuk memastikan barangan berharga dan dokumen penting disimpan di tempat selamat.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak dan memastikan mereka tidak bermain di kawasan berbahaya sepanjang musim banjir.

Menurutnya, keselamatan diri dan keluarga perlu menjadi keutamaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, terutama sekiranya berlaku perubahan cuaca secara mendadak.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan