Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Showcase 2026 Perluas Pasaran Produk Usahawan Tempatan
Terengganu Showcase 2026 Perluas Pasaran Produk Usahawan Tempatan
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
49

KUALA TERENGGANU, 28 September – Terengganu Showcase 2026 menjadi platform strategik dalam membantu usahawan Terengganu memperluas pasaran serta memperkenalkan produk tempatan kepada masyarakat di utara tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, program berkenaan bukan sekadar menyediakan ruang jualan malah membuka peluang kepada usahawan membina jaringan perniagaan dan memperkukuh jenama masing-masing.

“Bagi saya, program seperti ini bukan sekadar ruang jualan, tetapi menjadi platform memperluaskan pasaran, membina jaringan perniagaan dan memperkenalkan produk serta jenama usahawan Terengganu ke pasaran yang lebih luas,” tulisnya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Terdahulu, beliau berkesempatan mengadakan sesi walkabout ke Terengganu Showcase 2026 yang berlangsung selama empat hari berakhir hari ini (27 September) di Aman Central, Alor Setar, Kedah.

Turut sama delegasi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu serta wakil Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK).

Menurut beliau, Terengganu Showcase kali ini menghimpunkan 33 usahawan termasuk dari Kedah yang menawarkan pelbagai produk makanan, kraftangan dan barangan beridentitikan negeri.

“Produk-produk yang diketengahkan termasuk keropok, keropok lekor, nasi dagang, batik, songket, ketupat dakap, satar, akok, telekung serta pelbagai produk makanan dan kraftangan.

“Usahawan yang mengambil bahagian antaranya MRLM Legacy, Cekta Enterprise, Keropok 2 Payung, Qihah Telekung, SYR Batik, Seem Noor Batek, MyGee Keropok Lekor, Mahawie Satar Kemaman, Hulwah Frozen Food, Akok Tradisi by Ibu Mertuaku, Za Batek, KKS Network, Keropok Seri Tembesu dan KVG Marketing,” ujarnya.

Ariffin berkata, kepelbagaian produk yang diketengahkan bukan sahaja mencerminkan kreativiti usahawan tempatan malah membawa identiti serta cita rasa Terengganu kepada pengguna di luar negeri.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan