Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Sasar 2027 Tahun Usahawan Digital
Terengganu Sasar 2027 Tahun Usahawan Digital
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
36

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Terengganu menyasarkan 2027 sebagai Tahun Usahawan Digital Terengganu menerusi pelaksanaan siri Jelajah Usahawan ‘Go Digital’ ke setiap daerah bermula tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, inisiatif menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) itu bertujuan memastikan usahawan negeri berkenaan tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi.

Menurutnya, kepesatan teknologi perlu dimanfaatkan sebagai peluang untuk meningkatkan daya saing perniagaan.

“Perkembangan teknologi sekarang sangat pantas dan usahawan tidak boleh ketinggalan. Jadikan perkembangan teknologi sebagai peluang, bukan menjadi halangan kepada kita untuk terus bersaing.

“Bagi memastikan usahawan Terengganu tidak ketinggalan, maka YPU akan menganjurkan siri Jelajah Usahawan ‘Go Digital’ ke setiap daerah bermula tahun hadapan dengan semangat menjadikan tahun 2027 sebagai Tahun Usahawan Digital Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Sejahtera 2026 Haraki Fest di Kompleks YPU di sini baru-baru ini.

Ariffin berkata, pembangunan usahawan perlu merangkumi pelbagai aspek termasuk penggunaan teknologi, penjenamaan, pemasaran, pembiayaan dan jaringan perniagaan.

Jelasnya, usaha itu tidak seharusnya terhad kepada penyediaan ruang untuk usahawan menjual produk.

“Usahawan perlu mempunyai produk yang berkualiti, pasaran yang luas, kemampuan menggunakan teknologi, penjenamaan yang kukuh, akses kepada pembiayaan, jaringan perniagaan, ilmu pengurusan dan yang paling penting, kemampuan untuk berkembang,” ujarnya.

Menurutnya, penguasaan teknologi penting bagi membantu usahawan memperluas pasaran serta meningkatkan keupayaan perniagaan untuk berkembang.

“Daripada sekadar berniaga, kepada membina perniagaan. Daripada sekadar mencari pelanggan, kepada membina pasaran. Daripada sekadar berniaga secara individu, kepada membina jaringan dan ekosistem,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan turut membuka ruang kepada belia, pelajar universiti dan graduan untuk meneroka bidang keusahawanan, pekerjaan serta pembangunan kerjaya.

“Kita mahu produk Terengganu bukan sahaja dikenali di Terengganu. Kita mahu produk usahawan Terengganu pergi ke seluruh Malaysia dan, jika mempunyai kemampuan, pergi ke pasaran antarabangsa.

“Karnival ini turut memberi ruang kepada belia, pelajar universiti dan graduan untuk meneroka bidang keusahawanan, pekerjaan dan pembangunan kerjaya,” katanya.

Karnival Usahawan Sejahtera yang berlangsung dari 1 hingga 4 Oktober di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) menyasarkan kira-kira 10,000 pengunjung.

Karnival itu melibatkan 100 tapak gerai jualan dan pameran serta penyertaan agensi kerajaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan