lightning-solid
Berita :
Terengganu Ketengah Pelancongan Mesra Muslim ke Pentas Dunia
Terengganu Ketengah Pelancongan Mesra Muslim ke Pentas Dunia
Hafiz Rosli
28 Aug 25
532

SHAH ALAM, 28 Ogos – Terengganu melangkah ke pentas dunia dengan mengetengahkan potensi pelancongan mesra Muslim melalui penyertaan dalam World Islamic Tourism & Trade Expo (WITEX) 2025 di Sunway Resort Hotel, Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, penglibatan tersebut membuktikan usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkenalkan pelancongan berasaskan halal, budaya dan warisan kepada dunia luar.

“Pavilion Terengganu bukan sekadar tempat pameran, malah ia menjadi ruang untuk memperkenalkan produk negeri termasuk pakej umrah, makanan halal, fesyen sederhana dan juga teknologi pelancongan Islam.

“Ia juga peluang untuk usahawan Terengganu berjumpa dengan rakan industri luar negara bagi membuka kerjasama baharu,” katanya kepada pemberita selepas program WITEX 2025 bertempat di Sunway Resort Hotel, Selangor baru-baru ini.

Razali berkata program tersebut berlangsung selama tiga hari dengan penyertaan lebih 20 negara termasuk Indonesia, Brunei, Thailand, Mesir, Maldives, Sepanyol, China, Afrika Selatan dan Zambia.

“Pavilion Terengganu menampilkan Taman Tamadun Islam (TTI), pengusaha umrah, usahawan tempatan serta Jabatan Pelancongan Negeri.

“Selain itu, Sultan Mizan International Photography Awards (SMIPA 2025) turut dipamerkan sekali gus menjadi wadah awal untuk mempromosikan Visit Terengganu Year 2027,” ujarnya.

Beliau berkata, kehadiran delegasi antarabangsa dijangka membuka lebih banyak peluang jaringan strategik sekaligus mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi pelancongan Islam bertaraf dunia.

 


Tag :

Artikel Berkaitan