Berita :
Terengganu Fokus Taja B40 ke Mesir Untuk Perubatan, Pergigian
Terengganu Fokus Taja B40 ke Mesir Untuk Perubatan, Pergigian
Noraini Jusoh
4 jam yang lepas
84

KUALA TERENGGANU, 21 April - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu terus komited memperluas peluang pendidikan kepada anak Terengganu, termasuk daripada golongan kurang berkemampuan.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, berkata bagi pengajian ke Mesir, penajaan yang disediakan tertumpu kepada Skim Biasiswa Pelajar Cemerlang khusus dalam bidang perubatan dan pergigian di Universiti Al-Azhar.

Menurutnya, penawaran itu tertakluk kepada syarat akademik yang ketat, termasuk pencapaian cemerlang di peringkat SPM serta prestasi akademik tinggi di peringkat persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke Mesir.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Azbi dalam soalannya meminta penjelasan sama ada kerajaan negeri bercadang menyediakan biasiswa atau pinjaman kepada pelajar kurang berkemampuan yang memperoleh keputusan sederhana untuk melanjutkan pengajian ke Mesir.

Menjelaskan perkara itu, Satiful berkata bagi pelajar dalam bidang pengajian Islam, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memberi keutamaan kepada destinasi alternatif seperti Algeria, Tunisia dan Afrika Selatan menerusi skim pinjaman boleh ubah.

Katanya, pendekatan itu diambil bagi memberi peluang kepada pelajar, khususnya daripada golongan kurang berkemampuan dan berkeputusan sederhana, untuk mengikuti pengajian dalam persekitaran yang lebih kondusif bagi penguasaan bahasa Arab.

Menurut beliau, negara-negara berkenaan menawarkan suasana pembelajaran yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa komunikasi harian, sekali gus membantu pelajar meningkatkan kemahiran bahasa itu dengan lebih berkesan.

“Keadaan ini berbeza dengan sesetengah lokasi pengajian lain yang mempunyai jumlah pelajar Malaysia yang ramai sehingga berpotensi mengurangkan penggunaan Bahasa Arab dalam kehidupan seharian,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan