lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

APMM Tahan Dua Bot Nelayan 'Hantu'
APMM Tahan Dua Bot Nelayan 'Hantu'
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Dua buah bot nelayan 'hantu' berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM)Terengganu di dua lokasi berbeza iaitu pada jarak 100 batu nautika dan 101 batu nautika dari Kuala Terengganu, Sabtu baru-baru ini.  Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kedua-dua bot tersebut ditahan oleh kapal Maritim KM LANGKAWI yang sedang melakukan rondaan OP Khas Naga Barat. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, kedua - dua bot tersebut ditahan berikutan memiliki nombor pendaftaran yang mencurigakan selain nombor pendaftaran juga turut dipadam. Katanya dalam pemeriksaan yang dilakukan  ke atas kedua-dua bot,  kesemua anak kapal disyaki warganegara Vietnam tidak memiliki sebarang dokumen yang sah dan bot terbabit juga disyaki bot nelayan asing Vietnam. “Kesemua 27 kru termasuk tekong yang berumur antara 18 hingga 50 tahun ditahan, selain turut dirampas hasil tangkapan laut, diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM 2 juta. “Kedua bot di bawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen yang sah,” ujarnya. Tambahnya lagi, tindakan menangkap dan menahan bot nelayan asing telah dikuatkuasakan semula oleh Maritim Malaysia sebagaimana pengumuman yang  dibuat oleh Ketua Pengarah APMM pada 24 Jun lepas di hadapan media tempatan dan antarabangsa dalam satu sidang media membabitkan isu pencerobohan bot nelayan Vietnam di Putrajaya. “Tindakan itu diambil berikutan pengusiran sepanjang tempoh PKP tidak memberi kesan kepada nelayan asing. "Maritim Malaysia Negeri Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara. Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim," jelas beliau. Muhammad Suffi meminta kerjasama dari masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.
02 Jul 20
287
Sultan Mizan Seru Umat Islam Sambut Aidilfitri Ikut Syarak
Sultan Mizan Seru Umat Islam Sambut Aidilfitri Ikut Syarak
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam di negeri ini agar menyambut Aidilfitri mengikut kehendak syarak dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang termasuk pembaziran dan bermewah-mewahan. Baginda bertitah, umat Islam perlu memahami bahawa matlamat hari raya bukan semata-mata hari yang disambut dengan bergembira dan hidangan pelbagai makanan tetapi sambutan hari raya dalam Islam adalah mengajak umatnya kembali kepada Allah S.W.T dengan bertakbir dan bertahmid serta memuji kebesaranNya. "Sambutan Aidilfitri tahun ini memberi seribu makna dan pengajaran kepada kita lebih-lebih lagi tahun ini amat berbeza dari tahun-tahun sebelumnya disebabkan wabak COVID-19 yang melanda dunia belum berakhir. "Solat sunat hari raya di masjid dan surau tidak dibenarkan, aktiviti ziarah menziarahi dihadkan, tiada lagi salam bersalaman sesama kita dan rumah terbuka, justeru sambutan hari raya tahun ini akan sentiasa menjadi ingatan kepada kita semua," titah baginda. Dalam perutusan khas sempena Aidilfitri, baginda turut bertitah agar umat Islam menyuburkan budaya saling bermaaf-maafan, mengeratkan hubungan silaturrahim dan mengukuhkan tali persaudaraan serta bersama-sama membantu mereka yang terjejas dan terkesan dengan wabak COVID-19. "Bantulah mereka agar sama-sama merasai kegembiraan menyambut hari raya, berkongsilah limpahan rezeki yang dikurniakan Allah S.W.T dengan memperbanyakkan sedekah kepada golongan memerlukan. Sultan Mizan bertitah di samping bergembira menyambut Aidilfitri, umat Islam perlu bersama-sama menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh barisan hadapan yang berkerja membendung wabak COVID-19 dari terus merebak terutamanya doktor dan jururawat serta kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia. "Juga pasukan keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba Dan Pemyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA dan semua pihak yang berterusan mencurahkan khidmat bakti bagi memastikan kita semua dilindungi dan selamat sehingga membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman," titah Sultan Mizan. Baginda turut menzahirkan penghargaan dan merakamkan ucapan terima kasih terhadap barisan hadapan dan keluarga mereka atas pengorbanan dan khidmat bakti dalam melaksanakan amanah yang diberikan. "Kepada rakyat jelata beta nasihatkan jaga kebersihan diri, terus berada di rumah, keluar apabila perlu sahaja, dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat," titah baginda.
02 Jul 20
85
Shafiq Pelajar Paling Cemerlang SPM 2019 Diraikan
Shafiq Pelajar Paling Cemerlang SPM 2019 Diraikan
Oleh: Ahmad Ezani Razali KEMAMAN, 28 Jun - Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Mohamad Shafiq Akram Shafie, 18, diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM & STPM 2019 DUN Cukai, semalam. Beliau merupakan satu-satunya pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 bagi seluruh negeri Terengganu. Beliau ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Pejabat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Cukai yang telah menganjurkan program yang cukup bermakna baginya itu. "Satu nasihat yang ingin saya kongsikan. Ketika hati anda berada di tempat yang betul, tidak ada yang dapat menghalang anda. Itulah kata-kata yang saya ingat daripada seseorang ketika menyertai salah satu kem sebelum ini. "Kata-kata tersebut telah menjadi pembakar semangat saya agar terus berusaha mencapai impian," ujarnya. Shafiq turut mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapanya, guru-guru, rakan-rakan dan semua pihak yang telah membantu dirinya mencapai kejayaan tersebut. Beliau yang bercita-cita menjadi ahli farmasi telah menerima hadiah berbentuk sebuah 'Ipad Air' dan wang tunai yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap ADUN Cukai, Hanafiah Mat. Seramai 32 orang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan 157 orang pelajar SPM diraikan dalam majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Mercu, Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, di sini.
02 Jul 20
1055
400 Buah Rumah Diagih Singgang Daging
400 Buah Rumah Diagih Singgang Daging
Oleh: Saifullah Jusoh BESUT, 20 Mei - Sebanyak 400 buah rumah diagihkan lauk singgang daging untuk juadah berbuka puasa di kawasan Perumahan Kos Rendah Kampung Gong Tengah. Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, ia adalah untuk meringankan sedikit beban penduduk di penghujung bulan ramadan.  “Walaupun tidak banyak namun sekurang-kurangnya semua penduduk dapat merasa," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut, di sini, pada semalam. Menurutnya, program ini adalah kerjasama pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gong Tengah. Turut hadir ialah Pengerusi MPKK Kampung Gong Tengah, Wan Asriazwa Husin. “Ini adalah acara tahunan bagi peringkat supaya kita dapat mendekati penduduk DUN Kuala Besut. "Agihan lauk berbuka ini diadakan secara berperingkat bagi seluruh DUN Kuala Besut melalui MPKK masing-masing," tambah beliau.
02 Jul 20
146
Kerisauan Penduduk Berakhir
Kerisauan Penduduk Berakhir
Oleh: Mohd Fakhrullah Mohamad MARANG, 28 Jun - Kerisauan penduduk terhadap pokok yang hampir tumbang di pinggir jalan Kampung Alur Parit, telah berakhir. Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Tok Rimau, Mansor Mamat berkata, banyak aduan yang mengatakan pokok-pokok besar di pinggir jalan dahannya terlalu rendang dan boleh membahayakan rumah dan kedai berhampiran terutama ketika hujan ribut. "Kebelakangan ini kita terima terlalu banyak aduan daripada penduduk setempat di mana dahan-dahan pokok tersebut terlalu rendang dan mereput malah dikhuatiri boleh tumbang ketika ribut kencang," katanya. Tambahnya lagi, kerja-kerja itu sebenarnya sudah lama ingin dilaksanakan, cuma atas faktor keselamatan dan peralatan yang perlu digunakan terpaksa ditangguhkan dahulu. "Penduduk setempat telah turun beramai-ramai bergotong-royong kerja-kerja memotong dan membersih pokok-pokok tersebut menggunakan van lori yang disediakan," katanya Turut hadir, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bukit Payung, Mat Ghani Jusoh, Timbalan Pengerusi MPKK Kampung Tok Rimau, Mohd Amin Ismail, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penduduk sekitar. Sumbangan berupa wang ringgit yang disalurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah sedikit sebanyak membantu aktiviti gotong -royong itu.
02 Jul 20
118
Terengganu Laksana 486 Proses Nyah Cemar Sepanjang PKP
Terengganu Laksana 486 Proses Nyah Cemar Sepanjang PKP
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu memaklumkan, sebanyak 486 proses nyah cemar (sanitasi) telah dilakukan di seluruh negeri itu. Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, pelaksanaan proses tersebut bermula sejak 30 Mac lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinga ke hari ini. "Bagi negeri ini, daerah Kemaman paling banyak proses nyah cemar melibatkan 130 lokasi, diikuti Kuala Terengganu dengan 116 lokasi. "Sanitasi ini kita bagi tumpuan kepada tempat-tempat kritikal seperti pasar awam dan kini kita buat di pejabat-pejabat kerajaan yang akan buka dan sedang beroperasi begitu juga bas yang digunakan bagi menghantar serta bawa pulang pelajar dari dalam dan luar negeri ke Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, malam tadi. Tambahnya, JBPM kini turut melakukan proses nyah cemar di masjid-masjid yang bakal melaksanakan Solat Jumaat bermula 22 Mei ini melalui kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). "Baru-baru ini kita juga sudah buat untuk penjara dan imigresen, pusat koreksional di Ajil serta Marang yang melibatkan lebih 2,000 banduan dan kita kini beralih kepada masjid-masjid dalam negeri," katanya.
02 Jul 20
130
YB Jelajah Kampung Hulur Bantuan Keluarga Miskin
YB Jelajah Kampung Hulur Bantuan Keluarga Miskin
MARANG, 20 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah melakukan jelajah ke setiap kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan bagi menghulurkan bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri itu berkata, jelajah tersebut turut memberi keutamaan terhadap rumah rakyat yang mempunyai masalah kesihatan. Katanya, melalui aktiviti turun padang sebegitu beliau sendiri dapat merasai kesukaran hidup yang dialami penduduk di sana. “Alhamdulillah sebanyak 14 buah kampung sudah menerima sumbangan berupa kad raya, beras, dan kek. Insya-Allah sebanyak 11 lagi kampung yang masih berbaki akan turut menerima sumbangan sama. “Agihan sumbangan ini akan diagihkan mengikut bilangan rumah pada setiap kampung dan sumbangan disalurkan sendiri oleh saya atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang bertugas. Insya-Allah tidak akan ada rumah yang tercicir dan tidak dapat,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam. Turut hadir dalam aktiviti ziarah dari rumah ke rumah tersebut adalah Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru masyarakat supaya memanfaatkan hari yang berbaki dalam bulan Ramadan untuk beramal ibadat. “Harapan saya di bulan mulia yang masih lagi berbaki beberapa hari dan hari raya yang kian tiba, marilah sama-sama kita memperbanyakkan amal ibadat dan mengislahkan diri kita pada Allah agar setiap hidup dan amalan kita diterima oleh Allah. Insya-Allah,” tambah beliau.
02 Jul 20
115
PDRM, ATM Ronda Kawasan Rumah Pada Aidilfitri
PDRM, ATM Ronda Kawasan Rumah Pada Aidilfitri
PUTRAJAYA, 19 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan di kawasan rumah pada Hari Raya Aidilfitri nanti bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, Ketua Polis Negara memaklumkan pihak PDRM dan ATM bersetuju untuk melakukan rondaan di kawasan rumah khususnya pada hari raya pertama dan hari-hari selepas itu. “Kita mungkin tidak dapat buat pemeriksaan di setiap rumah, tetapi jika semasa rondaan dibuat banyak kenderaan di luar rumah, kita akan semak kediaman terlibat. “Apabila kenderaan banyak berkemungkinan ramai orang dalam rumah tersebut, jadi kita akan semak jumlah penghuni rumah tersebut,”  katanya pada sidang akhbar harian (Non-Health) di sini hari ini. Sehubungan itu, orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Hari Raya Aidilfitri nanti.
02 Jul 20
594
Dadah Boleh Musnah Institusi Keluarga
Dadah Boleh Musnah Institusi Keluarga
Oleh : Syazwana M.Zohir KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Masyarakat diperingatkan supaya sentiasa berwaspada dan cakna mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam kehidupan berumahtangga. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata pelbagai jenayah boleh timbul berpunca daripada penyalahgunaan dadah. Jelasnya, statistik menunjukkan bahawa lebih 50 peratus  daripada penghuni penjara di Malaysia disabitkan dengan pertuduhan berkaitan dadah. “Apa yang menarik perhatian saya ialah bagaimana penyalahgunaan dadah memberi kesan yang negatif kepada rumahtangga sehinggakan ada kes keganasan rumahtangga yang berlaku disebabkan pasangan atau anak-anak mereka terlibat dengan najis dadah. “Isu ini, saya saksikan sendiri apabila turun berziarah ke rumah-rumah tak kira sama ada di kawasan kampung atau bandar, pasti ada sahaja cerita keganasan dalam perkahwinan disebabkan dadah. “Apabila terdesak kerana tiada wang untuk mendapatkan bekalan dadah, maka suspek akan mula melakukan tindakan secara luar kawalan,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam. Tambah Zuraida, lebih menyedihkan apabila 80 peratus daripada jumlah penagih di Malaysia berbangsa Melayu dan kebanyakan mereka berasal dari negeri Pulau Pinang, Perlis, Pahang, Kelantan dan Terengganu. “Jika anda salah seorang daripada mangsa keganasan rumahtangga, segera laporkan kepada pihak berkuasa, jangan pendamkan seorang diri. “Saya suarakan hal ini demi memberi kesedaran kepada rakyat  sempena dengan Hari Sambutan Menentang Penyalahgunaan Dadah hari ini (semalam) ,”ujarnya.  
02 Jul 20
586
ADUN Jabi ‘Payung’ Singgang Daging Kepada 5,800 Penduduk
ADUN Jabi ‘Payung’ Singgang Daging Kepada 5,800 Penduduk
SETIU, 18 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menyembelih empat ekor lembu sado untuk diagihkan kepada sekitar 5,800 penduduk di kawasan berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri itu berkata, daging yang dimasak singgang itu diagihkan kepada rakyat untuk lauk berbuka puasa. "Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing memasak secara gotong-royong. "Kemudian masakan daging lembu ini akan dihantar sampai ke depan tangga rumah 5,800 penduduk. "Ia sebagai satu daripada gerakan kebajikan kemasyarakatan kita dalam bulan Ramadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyembelih keempat-empat lembu sado di Kampung Cabang Tiga Oh, Jabi, semalam. Menurut beliau lagi, pihaknya juga akan sedaya upaya menyantuni penduduk Jabi yang dilanda musibah seperti kematian, bencana alam dan sebagainya walaupun berdepan dengan sedikit keterbatasan akibat ancaman virus COVID-19. "Alhamdulillah, kes COVID-19 semakin menurun. Malah, Pusat Kuarantin di Pusat Latihan Pengembangan Pertanian (PLPP) di Kampung Tok Dor, Jabi pun telah ditutup sejak awal bulan lalu," tambahnya.
02 Jul 20
120