Artikel "Utama" Terkini
MB Terengganu Kutuk Kekejaman Israel, Dua Anak Jati Negeri Antara Aktivis Ditahan
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang jelas melanggar prinsip hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menerima bantuan kemanusiaan.
Katanya, tindakan tidak berperikemanusiaan itu sekali lagi memperlihatkan sikap angkuh rejim Zionis terhadap undang-undang dunia.
"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa demi keselamatan semua aktivis yang ditahan serta mendoakan agar kapal-kapal lain yang masih dalam perjalanan dapat selamat tiba ke Gaza dan menyalurkan bantuan kepada rakyat yang sedang menderita.
"Solidariti kita bersama rakyat Palestin tidak akan pernah goyah. Doa, sokongan dan tekanan masyarakat dunia adalah kunci untuk memastikan misi kemanusiaan ini berjaya," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, sekitar jam 8 pagi waktu Malaysia, seramai 12 orang rakyat Malaysia bersama aktivis antarabangsa lain telah disekat dan ditahan oleh rejim Israel sejak 2 pagi tadi waktu Malaysia ketika menyertai Misi Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
"Antara aktivis Malaysia yang ditahan, termasuklah dua anak jati Terengganu iaitu Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Ruysdi Ramli, yang telah bersama-sama menyertai misi bersejarah ini demi membela nasib rakyat Palestin," ujarnya.
Untuk perkembangan terkini berhubung misi ini, orang ramai boleh merujuk laman rasmi Global Sumud Flotilla melalui media sosial mereka.
02 Oct 25
227
Masjid Dibaiki Pulih, Solat Jumaat Di Surau – MAIDAM
SETIU, 2 Oktober 2025 – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) membenarkan Surau Kampung Baru Penarik mendirikan solat Jumaat bermula 3 Oktober ini, sebagai langkah sementara berikutan kerja-kerja baik pulih Masjid Kampung Penarik yang sedang dijalankan.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M Rozi Bidin, menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat setelah mengambil kira faktor keselamatan dan keperluan jemaah setempat.
"Kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau berkenaan adalah bersifat sementara sahaja sehingga kerja-kerja baik pulih Masjid Kampung Penarik siap dilaksanakan sepenuhnya.
"Kebenaran menggunakan bangunan surau berkenaan bagi solat fardhu dan Jumaat mulai Asar 26 September 2025," katanya dalam satu kenyataan rasmi baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan surau ini bukan satu penggantian kekal, tetapi penyelesaian segera yang diperlukan demi kemaslahatan umat Islam di kawasan tersebut.
"Kita melihat keperluan mendesak bagi menyediakan ruang ibadah yang selamat.
"Penggunaan surau ini adalah langkah sementara dan telah dipersetujui selepas penilaian menyeluruh dilakukan," jelasnya.
Pengerusi Masjid Kampung Penarik, Azri Yusof, menyambut baik keputusan MAIDAM dan memaklumkan keadaan bumbung masjid yang rosak kini tidak lagi selamat untuk digunakan.
"Saya menyambut baik usaha semua pihak bagi kerja-kerja baik pulih memandangkan struktur bangunan masjid di bahagian bumbung tidak selamat digunakan.
"Orang ramai dan masyarakat boleh bersama mengimarahkan Surau Kampung Baru Penarik yang berjarak 600 meter dari Masjid Kampung Penarik," kata beliau.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus menghidupkan surau tersebut sebagai pusat ibadah utama sepanjang tempoh pembaikan.
"Kita galakkan semua jemaah hadir ke surau dan meneruskan amalan seperti biasa.
"Walaupun lokasi berubah buat sementara waktu, semangat kekitaan perlu terus diperkukuh," ujarnya
Jelas Azri, hebahan rasmi telah dilakukan bagi memastikan seluruh komuniti mendapat makluman tepat dan tidak berlaku kekeliruan.
"Perisytiharan dan pemakluman juga telah dibuat pada solat Jumaat baru-baru ini oleh Pegawai Agama Daerah mengenai kebenaran berkenaan.
"Makluman telah disampaikan secara langsung kepada jemaah bagi mengelakkan sebarang salah faham," jelasnya.
Sementara itu, rata-rata jemaah menyambut baik penyelesaian ini dan berharap agar kerja pembaikan masjid berjalan lancar serta selesai mengikut jadual.
Mereka menzahirkan sokongan terhadap usaha MAIDAM dan kepimpinan tempatan yang proaktif dalam memastikan ibadah Jumaat tidak terhenti walau diuji dengan kesulitan.
02 Oct 25
133
LTdL : Aiman Hampir Buat Kejutan
KEMAMAN, 1 Oktober - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli hampir membuat kejutan apabila mendahului sebahagian besar Perlumbaan pada saingan peringkat empat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Nur Aiman walaupun terpaksa akur menamatkan perlumbaan di tempat ke-110 daripada 118 pelumba apabila ditewaskan kelompok utama yang pada awalanya mendahului sehingga tiga kilometer terakhir.
Aiman untuk edisi pada kali ini telah dinobatkan sebagai peserta paling menyerlah hasil aksi penuh berani yang dipamerkan sejauh 141.5 Kilometer (KM) dari Kuala Terengganu ke Kemaman, hari ini.
Katanya, kejayaan menguasai sebahagian besar perlumbaan pada hari ini merupakan strategi yang diatur dari awal untuk melepaskannya dalam kelompok 'breakaway'.
"Saya berjaya kutip dua mata penuh di zon pecutan, memenangi zon pendakian di Kijal dan akhirnya dapat gelaran pelumba paling menyerlah, jadi bagi saya tugasan saya hari ini sudah selesai," katanya, ketika ditemui pihak media, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Nur Aiman berkata dia juga berusaha keras untuk melepasi zon pendakian terakhir di Kijal.
"Malangnya hajat nak menang belum kesampaian, tapi saya puas hati dapat memcuba," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya dia tidak berputus asa tetap mengintai peluang untuk cabaran yang masih berbaki empat peringkat lagi dan menyasarkan untuk kembali mencabar di peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini.
"Itu laluan laju (pecutan) dari awal, memang sesuai dengan cara saya. Insya-Allah jika ada peluang saya akan cuba lagi.
"Mengenai cabaran Bukit Fraser itu merupakan medan untuk pendaki, kalau saya boleh terlepas dalam 'breakaway', saya cuba. Kalau tidak, kita serah kepada pakar pendakian TSG," ujarnya lagi.
01 Oct 25
150
Pelumba Basikal Antarabangsa Puji Keindahan Terengganu
KEMAMAN, 1 Oktober - Peringkat keempat Le Tour De Langkawi (LTdL) 2025 dari Kuala Terengganu ke Kemaman bukan sahaja menyajikan saingan sengit , malah turut meninggalkan kenangan indah buat pelumba pasukan Polti VisitMalta, Manuel Penalver yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.
Beliau menyifatkan laluan dalam persaingan tersebut sejauh 141.5 kilometer membuatkannya terpesona dan menyifatkan Terengganu merupakan laluan yang tercantik dalam pengalamannya menyertai acara berbasikal di peringkat dunia.
"Sangat cantik sepanjang laluan pantai, dapat dinikmati keindahannya dalam cuaca yang baik.
"Lebih menyeronokkan penonton bersorak untuk kami sepanjang perlumbaan dan ia benar-benar merupakan sebuah tempat yang menarik,"ujarnya ketika ditemui pihak media, di sini.
Katanya, seluruh dunia akan dapat menyaksikan keindahan Terengganu sekiranya melihat pemandangan dari atas melalui sisi pandang dron.
"Ia akan dapat dilihat lebih indan dan cantik.
"Selepas ini kami tidak berbasikal, dan akan ambil kesempatan untuk menikmati pemandangan yang cantik ini sebelum menghadapi perlumbaan seterusnya,"katanya.
01 Oct 25
3325
Hospital Mesra Ibadah KMI Lantik Ustaz Khusus Bimbing Pesakit
Keunikan utama Hospital Mesra Ibadah (HMI) di bawah syarikat Kerajaan Negeri, TDM Berhad melalui anak syarikatnya, KMI Healthcare Sdn. Bhd. ialah pelantikan pegawai agama khusus serta kakitangan terlatih bagi membimbing pesakit dari aspek kerohanian, selain rawatan moden yang disediakan.
01 Oct 25
140
Selain Surau, KMI Tawar ‘Silent Room’ Buat Agama Lain
Pelancaran Hospital Mesra Ibadah (HMI) di bawah rangkaian TDM Berhad melalui anak syarikatnya, KMI Healthcare, menjadi mercu tanda baharu dalam sektor kesihatan apabila menggabungkan rawatan moden dengan pendekatan berteraskan Maqasid Syariah serta rahmatan lil ‘alamin.
01 Oct 25
132
Laluan Utama di Kuala Terengganu Ditutup Sementara Sempena LTdL
KUALA TERENGGANU, 30 September - Beberapa jalan utama di sekitar daerah Kuala Terengganu akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada penganjuran Jelajah Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTDL) 2025, pada 1 Oktober ini (Rabu).
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Wan Mohd Zaki Wan Ismail, penutupan itu bagi memastikan kelancaran peringkat keempat kejohanan berprestij tersebut yang bermula di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu sebelum berakhir di Kemaman.
"Penutupan akan bermula jam 9.30 pagi dengan laluan konvoi pelumba dijangka melalui kawasan ini sekitar jam 10 pagi.
"Laluan yang terlibat ialah Dataran Batu Buruk, Jalan Sultan Mahmud, Jambatan Kuala Ibai, Chendering dan Sempadan Marang.
"Semua jalan akan dibuka semula setelah konvoi selesai melintasi kawasan terlibat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan.
Tambahnya lagi, pengguna jalan raya juga diminta mematuhi arahan anggota polis yang bertugas sepanjang laluan perlumbaan demi menjamin keselamatan pelumba, penonton serta masyarakat setempat.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Terengganu di talian 09-6322243.
30 Sep 25
7170
'Perlu Kelulusan PBT Sebelum Buat Apa-apa' - Exco Tegur Syarikat Swasta
KUALA TERENGGANU, 30 September - Kerajaan negeri menegaskan bahawa mana-mana syarikat perlu mendapatkan kelulusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang kerja atau pemasangan struktur di tapak mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemasangan palang parkir automatik di Pulau Warisan baru-baru ini jelas dilakukan tanpa sebarang kebenaran daripada MBKT.
"Semua benda-benda yang melibatkan perkara-perkara yang seperti itu, projek-projek ataupun kerja-kerja seperti itu perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya.
"Dalam bahasa mudah, tidak boleh sesenang-senangnya untuk pasang palang atau apa sahaja tanpa kebenaran MBKT," katanya.
Wan Sukairi
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Balai Besar Sejahtera, Dungun, di sini, hari ini.
Tambah Wan Sukairi, tindakan segera telah diambil MBKT sebaik sahaja menerima maklumat berhubung isu tersebut dengan menyita palang terbabit dalam tempoh beberapa jam selepas aduan diterima.
Katanya, walaupun tapak terbabit berada di bawah pajakan sebuah syarikat, ia tetap tertakluk kepada undang-undang pihak berkuasa tempatan.
"Pemilik pajakan dinasihatkan untuk merujuk dan membuat permohonan kepada MBKT terlebih dahulu.
"Hanya selepas mendapat kelulusan, barulah pihak majlis akan menilai sama ada sesuatu projek boleh diteruskan atau sebaliknya," jelasnya.
Isu berkenaan menjadi perhatian selepas pemasangan palang automatik di Pulau Warisan, Kuala Terengganu tular di media sosial yang lalu sebelum MBKT mengambil tindakan penguatkuasaan.
Menurut MBKT dalam satu kenyataan, perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
30 Sep 25
191
2,766 Rumah SPNB Siap Dibina
KEMAMAN, 29 September - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM504 juta bagi pembinaan 5,450 buah Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di seluruh negara, tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, setakat Ogos lalu, sebanyak 2,766 unit rumah telah siap dibina, 1,310 unit sedang dalam pembinaan manakala 1,374 unit lagi sedang dalam proses untuk diserahkan kepada kontraktor.
"Sejak SPNB diletakkan dibawah seliaan KPKT pada 2018, usaha penyelarasan inisiatif perumahan rakyat menjadi lebih bersepadu dan berkesan dan sehingga kini, sebanyak 73,167 unit RMR telah siap dibina di seluruh negara.
"RMR yang dilengkapi tiga bilik ini bernilai RM75,000 yang mana kita memberikan subsidi RM20,000 untuk setiap rumah yang dibina dan pemilik hanya perlu membayar kira-kira RM300 sebulan dalam tempoh 16 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat kepada 11 pemilik dan Sijil Penghargaan kepada sembilan kontraktor di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Baru di Kemasik, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah.
Menurut Aiman Athirah, program RMR merupakan komitmen kerajaan dalam menyediakan perumahan kepada rakyat yang berpendapatan RM5,000, dengan syarat pemilik memiliki tanah.
Katanya, sehingga Julai, SPNB mererima sebanyak 182,208 permohonan untuk program RMR.
"Daripada jumlah itu, 117,000 adalah permohonan yang telah lengkap dan 73,354 telah diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.
"Sebanyak 65,000 permohonan lagi dalam proses pendaftaran serta semakan sebelum disenaraikan untuk kelulusan," katanya.
Sementara itu, Wan Sukairi berkata, Kerajaan Negeri Terengganu akan terus memainkan peranan dengan penuh komitmen dan berkesan dalam menjalin kerjasama erat bersama SPNB bagi memastikan kesejahteraan rakyat melalui peluang memiliki rumah sendiri.
“Terima kasih buat SPNB yang sentiasa memberi komitmen dalam meyediakan rumah berkualiti dan mampu milik buat rakyat di Terengganu.
“Sehingga 31 Ogos lalu, SPNB telah menyiapkan 10,254 unit RMR di negeri ini dan secara keseluruhan 72,167 unit di seluruh negara,” ujarnya.
Beliau mengharapkan, dengan adanya rumah ini, para penerima dapat menikmati kehidupan lebih selesa, sejahtera dan terus membina masa depan yang lebih baik bersama keluarga.
29 Sep 25
220
UMT Tawar Tiga Program Baharu Bagi Sesi Akademik 2025 2026
KUALA TERENGGANU, 29 September – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan tiga program baharu mulai sesi akademik 2025/2026.
Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, tiga program baharu tersebut ialah Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga dan Kuasa) dengan Kepujian serta Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) dengan Kepujian (Dual Degree).
“Penawaran program baharu ini selaras dengan keperluan semasa negara dan dijangka dapat melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, teknologi elektrik dan maritim pada masa hadapan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, UMT menerima seramai 2,105 pelajar baharu bagi kemasukan sesi akademik 2025/2026, melibatkan 36 program pengajian di bawah tujuh fakulti.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 15 orang merupakan pelajar antarabangsa yang datang dari pelbagai negara termasuk Maldives, India, Indonesia, Bangladesh, Sudan, Tanzania, Timor-Leste dan Kenya bagi mengikuti pengajian peringkat Sarjana Muda,” ujarnya.
Katanya, proses pendaftaran yang bermula seawal jam 8 pagi semalam berjalan lancar seperti yang dirancang.
“UMT sentiasa bersedia menyambut kehadiran pelajar baharu dengan menyediakan kemudahan penginapan yang mencukupi, selain keperluan asas lain termasuk bilik pengajaran dan pembelajaran, makmal moden serta kafe yang selesa bagi memastikan kebajikan pelajar terjamin sepanjang tempoh pengajian.
“Bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, Minggu Jalinan Mesra (MJM) akan dilaksanakan mulai 28 September hingga 4 Oktober ini,” ujarnya.
Tambah beliau, selain kampus induk di Kuala Nerus, UMT turut mempunyai kampus kedua di Bukit Kor, Marang yang akan memulakan kuliah pada 5 Oktober ini.
“Kampus tersebut menempatkan seramai 332 pelajar bagi mengikuti tiga program pengajian di bawah Fakulti Sains Makanan dan Agroteknologi melibatkan 28 kursus pengajian.
“Segala kemudahan kuliah dan makmal pengajaran di kampus tersebut juga telah disediakan sepenuhnya untuk kegunaan pelajar baharu,” ujarnya.
29 Sep 25
119