Artikel "Semasa" Terkini
Turun Padang Rasai Denyut Nadi Pengusaha Resort- Ariffin
DUNGUN, 17 Ogos - “Kita sentiasa turun ke lapangan dan bertemu dengan pengusaha chalet dan resort untuk merasai denyut nadi mereka terutama yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.
Katanya, kebanyakkan pengusaha chalet dan resort di negeri ini terutama di pulau mengalami kerugian ketika pandemik COVID-19 melanda negara.
“Pelancong asing tidak dibenarkan masuk sehingga sekarang ke negara ini menyebabkan pendapatan mereka terjejas namun mereka akur dengan situasi sukar ketika ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa membuat lawatan kerja rasmi ke Pulau Tenggol.
Sementara itu katanya, kerajaan negeri sentiasa membantu mempromosikan produk pelancongan yang ada di Negeri Terengganu ini.
“Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita sentiasa giat membuat hebahan dan promosi berkaitan pelancongan supaya apabila sektor ini dibuka, kita bersiap sedia menerima pelanggan yang telah membuat tempahan awal,” katanya.
Dalam pada itu, ramai pengusaha yang memberitahu selepas kerajaan membenarkan sektor pelancongan beroperasi, sambutan orang ramai sangat positif.
“Kita mendapat maklum balas yang positif dari mereka ini apabila bilik-bilik hampir habis ditempah.
"Ada yang menempahnya untuk percutian seisi keluarga, hari keluarga syarikat dan seumpamanya,” tambah beliau.
17 Aug 20
460
Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, Inikan Pula Suami Isteri
HULU TERENGGANU, 17 Ogos – Setiap perhubungan pasti ada pasang surutnya dan tidak semuanya indah bak kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim berkata, kasih sayang sesama insan akan membuahkan sikap bertolak ansur, hormat menghormati dan sedia berkorban demi kebahagiaan orang tersayang.
"Penting untuk kita meletakkan matlamat utama perkahwinan adalah mencari redha Allah, insya-Allah rumahtangga akan selamat dan bahagia ke akhir hayat. Satu lagi perkara penting yang tidak boleh diketepikan dalam mengekalkan kerukunan rumahtangga adalah cara berkomunikasi suami isteri.
"Antara tanda rumahtangga bahagia adalah mempunyai isteri atau suami yang soleh. Isteri yang soleh adalah apabila dipandang, suaminya rasa terhibur dan hilang penat, kalau disuruh dia taat dan apabila ditinggalkan musafir oleh suami, dia menjaga kehormatannya. Tanda-tanda lain adalah mempunyai anak-anak yang baik dan mempunyai rakan-rakan yang terdiri daripada golongan yang baik-baik akhlaknya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Penutup Kursus Pra Perkahwinan Islam Siri 3 anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Adun Ajil yang telah melabuhkan tirainya di Dewan Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, semalam.
Tambahnya lagi, suami perlu bijak mengurus rumahtangga agar berupaya memimpin isteri dan anak-anak mendapat ketenangan dan kegembiraan, sesuai dengan ayat Allah yang suami itu pemimpin, mereka perlulah membuktikan 'kepemimpinan' dalam rumah tangga.
"Untuk itu, paling kurang seminggu sekali suami kena jadi imam di rumah. Jangan pula dah kahwin 20 tahun tetapi tak pernah sekali pun mengimamkan solat dengan keluarga.
"Tidak kisahlah kalau setiap kali solat baca surah al-Kauthar dan al-Ikhlas asalkan sekurang-kurangnya mampu mengimamkan isteri dan anak-anak. Apabila suami mencapai tahap begini, barulah isteri dan anak-anak lebih hormat. Anak-anak pun turut bangga kerana bapa mereka boleh jadi imam," ujar beliau.
Mengulas lanjut, Maliaman berkata, krisis dan konflik tidak dapat dielakkan, kerana ia adalah asam garam dalam kehidupan berumahtangga.
"Akan ada badai melanda akan tiba ombak menghentam pantai , maka bersiap sedia emosi dan rohani. Jika tidak akan tenggelam dalam lautan kehidupan yang dalam. Ketika konflik menjengah lazimnya ia tidak memberi sebarang tanda, ia menyapa bagai angin lalu, yang dijangka boleh dielak tetapi yang menjadi krisis dan konflik itu biasanya yang di luar jangka.
"Semoga segala ilmu yang ditimba oleh peserta kursus dapat dimanfaatkan sebagai bekal bagi mereka menempuh alam rumahtangga yang amat memerlukan persefahaman, komitmen, sikap harga menghargai dan kasih sayang serta mawaddah dan rahmah diantara pasangan," katanya.
17 Aug 20
2446
Hayati Sejarah Dan Semangat Pejuang Kemerdekaan
HULU TERENGGANU, 16 Ogos - Keberanian dan kecekalan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan wajar dihayati dan dihargai kerana sifat kepahlawanan mereka telah membawa kebebasan hari ini untuk mencorakkan masa depan negara tercinta.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, semangat yang ditiupkan ulama dahulu begitu padu hinggakan ramai sanggup mengetepikan kepentingan peribadi demi kelangsungan dan maruah agama, negara dan bangsa.
"Mereka menyuntik rasa kesedaran kepada masyarakat agar bersama-sama menggalas tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan negara.
“Telah tiba masanya untuk kita pula menyambung perjuangan mereka dalam mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara. Kita juga perlu mempertahankan kedaulatan tanah air kita ini dengan sebaik mungkin agar anak-anak dan generasi seterusnya akan turut dapat mengecapi kebebasan seperti mana yang kita miliki sekarang," ujarnya ketika merasmikan Program Merdeka @ komuniti info on wheels Dun Ajil di Dataran Kampung Tok Dor Pagi ini anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu semalam.
Justeru itu katanya, mereka yang berjiwa merdeka dan patriotisme akan menghargai sejarah, pahit getir dan kegigihan perjuangan generasi terdahulu memerdekakan negara.
"Malangnya, ada sesetengah pihak yang cuba mengubah fakta sejarah untuk mengelirukan generasi muda dengan maklumat dan informasi songsang yang menimbulkan kesangsian kepada fakta sebenar dan sejarah.
"Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila.
"Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang," jelas Maliaman.
Tambah beliau lagi, semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patriotik yang tinggi.
15 Aug 20
2749
Jenazah Ayahanda Saudara Sultan Mizan Tiba Di Terengganu Untuk Dimakam
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Jenazah Yang Amat Mulia Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk dimakamkan di Makam Diraja Masjid Abidin, di sini, malam ini.
Jenazah Allahyarham tiba dari Kuala Lumpur pada kira-kira 5.02 petang dengan menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia.
Ketibaan jenazah disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan kerabat-kerabat Diraja.
Jenazah kemudian diiringi ke Istana Syarqiyah bagi disemayamkan dan untuk penghormatan terakhir sebelum ke Istana Maziah dan akan dibawa ke makam Diraja dengan usungan Seraja Diraja.
Sultan Mizan diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke Balai Islam bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Tengku Sri Laksamana Raja.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir, anakanda Sultan Mizan, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.
Allahyarham Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman, 80, mangkat pukul 10.15 pagi tadi di Gleaneagles Hospital, Kuala Lumpur kerana jangkitan paru-paru dan buah pinggang.
14 Aug 20
8257
DUN Terengganu Lulus Enakmen Baharu Untuk Penggunaan Sumber Air
Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu 12 ogos meluluskan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020, bagi meluaskan lagi penguatkuasaan kerajaan negeri terhadap penggunaan dan pengeluaran air di Terengganu.
13 Aug 20
374
Terengganu Tubuh Pasukan Khas Pantau Projek ECRL
Kerajaan negeri menubuhkan pasukan pemantau di peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memastikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu mendapat manfaat secara menyeluruh.
13 Aug 20
288
Fitnah Rasuah : ADUN Kemasik Buat Laporan Polis
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu berhubung fitnah yang tular di media sosial terhadap dirinya.
13 Aug 20
263
Kerja Pembinaan Menara NFCP Fasa Pertama Di Terengganu Siap Suku Pertama 2021
Kerja-kerja pembinaan menara dan penyediaan rangkaian gentian optik di bawah program Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagi fasa pertama yang bermula tahun lepas, dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan dengan melibatkan 13 lokasi di negeri Terengganu.
12 Aug 20
527
Parkir MBKT Diswastakan, Apa Rasionalnya
Kerajaan negeri menjelaskan penswastaan parkir berbayar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merupakan langkah terbaik bagi mengatasi kerugian pihak berkuasa tempatan itu.
12 Aug 20
297
Dakwaan Pengusaha Nanas Dihalau Kerajaan Tidak Benar
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri menghalau pengusaha nanas MD2 di Bujal, Kijal sehingga menyebabkan kerugian RM350,000 adalah tidak benar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemilik tanah termasuk pihaknya tidak pernah mengganggu atau menghalau Sofea Pineapple Farm yang sedang mengusahakan 15 ekar tanaman.
"Sewa tanah pun pemilik tanah tak ambil daripada pengusaha. Malah pengusaha menambah lagi lima ekar keluasan kawasan bertanam menjadikan 20 ekar kesemuanya.
"Kebun nanas tersebut masih ada sampai hari ini. Projek ini dalam kawasan Kijal. Saya pernah menjadi orang tengah bagi mencari titik persepakatan antara tuan tanah dan pengusaha," katanya ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah DYMM Sultan pada Persidangan DUN Terengganu Penggal Ketiga Kali ke-14 hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mengelakkan pengusaha mengalami kesukaran selepas tuntutan tanah oleh pemilik, Sofea Pineapple telah diberi lot tanah kerajaan secara Lesen Menduduki Sementara (LMS) di belakang SM Imtiaz Kijal.
"Proses bagaimana tanah tersebut dikembalikan kepada tuan yang berhak telah melalui prosedur yang sepatutnya. Tanah tersebut milik Hamdan Ahmad, Geran Pajakan Negeri bernombor 1815 dengan tempoh pajakan selama 30 tahun, seluas 44.2 ha.
"Tempoh pajakan tamat pada 18 Februari 2009. Tahun 2008 lagi Hamdan sudah mengisi Jadual 1 dan angkat permohonan untuk sambung pajakan tetapi tak ada keputusan.
"Malah sebahagian tanah telah diberi milik kepada orang lain. Selepas pertukaran kerajaan Mei 2018, barulah permohonan diproses semula. Urusan permohonan tanah tersebut dua kali masuk Jawatankuasa Tanah Daerah (JKTD) Kemaman sebelum diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan dibuat keputusan," tambah beliau.
Semalam, ketika sesi perbahasan usul perutusan titah Diraja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato' Seri Dr Ahmad Said turut membangkitkan isu berkenaan dan memohon penjelasan kerajaan.
11 Aug 20
5222