Artikel "Komuniti" Terkini
Program ‘Asnaf To Asnaf’ Bantu Pelajar UMT Jana Pendapatan Sampingan
KUALA TERENGGANU, 18 Mac- Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan inisiatif dinamakan ‘Asnaf to Asnaf’ iaitu program tuisyen yang melibatkan sekumpulan mahasiswa asnaf UMT bertindak sebagai tenaga pengajar kepada asnaf pelajar sekolah yang berada di sekitar kampus.
Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, program tuisyen itu memberi peluang kepada pelajar sekolah kategori asnaf untuk mendapatkan bimbingan tambahan dalam pelajaran secara percuma.
“Melalui bimbingan yang diberikan oleh mahasiswa yang lebih berpengalaman, pelajar sekolah dapat memahami konsep-konsep yang diajar dengan lebih mendalam.
“Ini membantu mereka untuk meningkatkan pencapaian akademik dan seterusnya memberi peluang untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat UMT, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, inisiatif itu juga bagi membantu asnaf pelajar UMT yang kurang berkemampuan mendapatkan wang sampingan.
“Objektif program ini antara lain untuk membantu mahasiswa dari keluarga kurang berkemampuan menjadi pembantu guru dengan bayaran saguhati yang bakal diterima hasil daripada sumbangan zakat.
“Dalam masa yang sama membantu murid-murid sekolah rendah yang ketinggalan dari segi pembelajaran serta memberi suntikan motivasi untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga,” ujarnya.
Katanya, program kebajikan itu melibatkan 300 pelajar terdiri daripada tiga buah sekolah di daerah Kuala Nerus iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, SK Tanjung Gelam dan SK Mengabang Telipot.
“Dengan adanya program ini, pelajar asnaf UMT menerima elaun sebanyak RM960 seorang yang menjadi guru tuisyen melalui sumbangan tajaan penuh daripada Etiqa Family Takaful Berhad berjumlah RM122,900.
Selain itu, Dr. Mazlan menyifatkan program seumpama itu sebagai platform terbaik dalam meningkatkan motivasi asnaf pelajar sekolah untuk berazam mengukuhkan pencapaian akdemik bagi menggapai kejayaan seterusnya mengubah nasib keluarga ke tahap lebih baik.
“Dengan melihat contoh teladan yang dipamerkan mahasiswa dalam mengejar ilmu, pelajar sekolah dapat menjadikannya sebagai idola dan inspirasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Ini tidak hanya meningkatkan semangat belajar mereka tetapi juga membantu membina keyakinan diri yang penting untuk mencapai matlamat pendidikan mereka,” katanya
18 Mar 24
257
45 Kanak-Kanak Seberang Takir Sertai Khatan Percuma
KUALA NERUS, 28 Februari - Seramai 45 kanak-kanak menyertai Program Khatan Percuma anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Seberang Takir.
Program yang diadakan bersempena musim cuti sekolah itu turut mendapat kerjasama Masjid Seberang Takir.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat.
Kanak-Kanak terbabit turut dimandikan dengan semburan air oleh pihak BOMBA bagi meredakan ketakutan di samping mengembirakan kanak-kanak yang terlibat dengan program tersebut.
Khazan berkata, sesi berkhatan percuma itu diadakan bagi membantu kanak-kanak dari keluarga yang kurang berkemampuan bagi melaksanakan tuntutan agama.
"Dengan kos berkhatan pada masa kini semakin meningkat sehingga RM150 ternyata ia membebankan bagi segelintir ibu bapa. Alhamdulillah, dengan kerjasama Masjid Seberang Takir, ia berjaya dilaksanakan.
"Berkhatan adalah sesuatu yang sangat penting untuk kesihatan selain daripada suatu tuntutan agama, menunjukkan bahawa Islam itu agama fitrah yang memang sesuai dengan naluri dan keperluan manusia," katanya.
Sementara itu, bapa salah seorang peserta, Rashid Jusoh, 51, bersyukur dengan program berkenaan berikutan kos berkhatan pada masa kini agak mahal.
"Terima kasih kepada semua yang terlibat, saya sangat berpuas hati perjalanan program. Hajat awal memang nak berkhatan di klinik tetapi anak rasa takut, berkhatan ramai-ramai begini kurang rasa takut," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Seberang Takir, Halim Che Ibrahim berkata, program julung kali diadakan di masjid itu mengambil kira permintaan para jemaah.
"Untuk makluman juga, kepada anak-anak yang terlepas program berkhatan beramai-ramai baru-baru ini, boleh berkhatan di klinik yang menyediakan perkhidmatan berkhatan, masjid akan bantu bayar sebanyak RM100 dan selebihnya adalah penjaga.
"Melihat sambutan yang menggalakkan, insya-Allah program berkhatan akan dimasukkan dalam program tahunan.
27 Feb 24
101
Pesta Main Selut Jadi Tarikan Pelancongan Terengganu
Pesta Main Selut Bukit Tanah berpotensi dijadikan tarikan agro pelancongan berikutan keunikan yang ditampilkan.
20 Feb 24
180
NGO Dianggotai Wanita Disaran Tubuh Koperasi
Oleh: Pok Abbas
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dianggotai kaum wanita di negeri ini disaran untuk menubuhkan koperasi bagi memastikan nasib mereka lebih terbela.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, dengan inisiatif tersebut, golongan berkenaan dapat menerima faedah yang lebih menyeluruh berikutan sifat inklusiviti koperasi dalam memenuhi keperluan sosial dan ekonomi anggotanya.
"Selain sebagai usaha mencari dana untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang mendatangkan manfaat bersama, banyak kebaikan jika mereka semua dapat berada dalam satu koperasi.
"Di situ banyak aktiviti dapat dilaksanakan untuk mencari dana sekiranya mampu untuk menguruskan koperasi dengan baik" ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Hi-Tea Bersama YB Ustaz Ariffin Deraman dan YB Zuraida Md Noor di Dewan Komuniti Kampung Panji di sini, kelmarin.
Program anjuran Badan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Sepakat Usahawan Wanita Terengganu (SEMUT) itu, telah dihadiri seramai 100 orang peserta.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor dalam ucapannya berkata, memandangkan taraf sosio-ekonomi makin tinggi sangat wajar muslimat meneroka sesuatu yang baru.
"Dengan menceburi bidang yang mampu menghasil pendapatan tambahan dan melangkah setapak menubuhkan koperasi yang kebanyakannya di kuasai kaum lelaki, InsyaAllah, kaum hawa di Terengganu ini akan lebih ke hadapan ," katanya.
18 Feb 24
195
200 Rakyat Terengganu Berpeluang Kerja Dengan Sony
KUALA NERUS, 16 Februari - Sony EMCS Malaysia Sdn. Bhd. menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 200 anak muda negeri ini yang berusia tidak lebih 35 tahun untuk bekerja dengan syarikat terkemuka dunia dari Jepun.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, temuduga untuk rakyat negeri ini bekerja di syarikat berkenaan bermula semalam sehingga 19 Februari ini membabtikan tiga daerah, Kuala Nerus, Besut dan Setiu.
Katanya, syarikat tersebut bersetuju membuka peluang pekerjaan bagi rakyat negeri ini setelah kunjungan hormat oleh pihak Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC).
"Saya meharapkan supaya ramai lagi datang di Pusat Cari Kerja di Jalan Lapangan Terbang ini di mana hari ini (semalam) dan esok (hari ini) diadakan temuduga secara 'outreach' di sini sebelum ke Besut dan Setiu.
"Syarikat Sony ini menyediakan pelbagai inisiatif yang menarik dengan menyediakan penginapan yang kondusif, menyediakan bas untuk menghantar kesemua yang berjaya ditemuduga ini selain akan menyediakan bas untuk pulang dan pergi menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Tawaran gaji yang diberikan juga cukup menarik dengan menyediakan elaun asas yang sangat tinggi sesuai dengan keadaan semasa, melalui taklimat yang diberikan tadi saya melihat peluang untuk melakukan pekerjaan lebih masa ada jika dicampur gaji asas berserta elaun yang lain boleh mencecah RM3,000," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa menghadiri Walkabout Outreach Kerjaya di THRDC ( Pusat Cari kerja Lapangan Terbang Sultan Mahmud), di sini, semalam.
Turut Hadir Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid.
Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata walaupun pada permulaan syarikat tersebut hanya menawarkan perkhidmatan sebagai Operator Pengeluaran namun peluang untuk naik pangkat dan diserap ke bahagian yang lebih baik bagi menempatkan diri di Sony EMCS itu ada.
"Jika untuk menjadi operator pengeluaran ini hanya melalui sijil PMR, namun dengan memiliki SPM, Diploma dan Ijazah jika didapati bekerja dengan baik semasa menjadi operator di masa akan datang akan ditawarkan ke jawatan yang lain.
"Ini merupakan peluang yang sangat baik untuk bekerja dengan syarikat bertaraf antarabangasa yang berpengalaman dalam mengeluarkan barangan elektronik berasal dari Jepun," katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui THRDC akan terus merintis kerjasama dengan mana-mana majikan dalam negara ini bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri ini mendapatkan pekerjaan.
"Program secara 'outreach' ini kita akan terus lakukan bertemu seramai mungkin bertemu dengan mana-mana majikan yang ingin mencari pekerja," ujarnya.
16 Feb 24
7201
Aplikasi S@mpai Mudahkan Rakyat Terengganu Cari Kerja
KUALA NERUS, 15 Februari - Kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) memperkenalkan satu aplikasi Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) yang menjadi platform untuk rakyat Terengganu mencari pekerjaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, melalui aplikasi berkenaan rakyat negeri ini dapat maklumat yang betul mengenai info semasa jawatan kosong yang diiklankan sekali gus dapat mengelakkan diri menjadi mangsa 'scammer'.
"Setiap hari akan dikemaskini maklumat semasa tentang syarikat, agensi, jabatan, organisasi sama ada kerajaan ataupun swasta yang memerlukan pekerja bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.
"Bukan sahaja akan dapat mengetahui tentang info semasa jawatan kosong di negeri ini tetapi akan mendapat maklumat seluruh malaysia akan dipaparkan melalui peranti yang dicipta khas oleh THRDC yang ditempatkan di Pusat Cari Kerja, di Jalan Lapangan Terbang, Kuala Nerus," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri Walkabout Outreach kerjaya bertempat di T-HRDC, Pusat Cari kerja Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid.
Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata, bagi memastikan seluruh rakyat negeri ini mendapat manfaat peranti itu, paparan aplikasi berkenaan akan ditempatkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Pusat Khidmat Masyarakat selepas ini.
"Apa yang penting hasrat kerajaan negeri hendak memastikan rakyat mendapat pekerjaan seramai mungkin," ujarnya.
15 Feb 24
1115
Beruang Liar Ancam Keselamatan Penduduk
SETIU, 14 Februari - Sepasang beruang liar mengancam keselamatan penduduk dengan mengakibatkan beberapa serangan dan gangguan di Kampung Pengkalan Gelap.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Setiu, Rosdi Che Lah berkata, serangan berlaku sejak tiga hari lepas menyasarkan haiwan ternakan, kawasan pertanian dan terbaru sarang lebah kelulut.
Rosdi Che Lah, Pengerusi JPKK Kampung Kuala Setiu
"Saya telah memberi peringatan kepada penduduk kampung supaya berhati-hati dengan kehadiran beruang liar ini yang boleh memberikan ancaman keselamatan.
"Sejak tiga hari lepas setiap malam berlaku serangan dan gangguan dan saya menaruh rasa bimbang yang amat dengan kehadiran binatang liar ini," katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Gelap.
Ekoran aduan yang telah dibuat, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memasang perangkap bagi menangkap binatang liar ini supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
Tambahnya, beliau berharap situasi itu segera berakhir dan penduduk kampung bebas daripada ancaman.
15 Feb 24
421
70 Warga PSMZA Sertai Misi Bantuan Banjir Di Hulu Dungun
DUNGUN, 31 Januari - Seramai 70 warga Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) terlibat dalam Misi Pasca Banjir Hulu Dungun bagi membantu operasi pasca banjir di daerah itu yang merupakan antara daerah terkesan dilanda bencana banjir di Negeri Terengganu.
Pengarahnya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir PSMZA, Zamra Derahman berkata, tumpuan utama misi bantuan yang disertai kakitangan dan pelajar PSMZA itu untuk membersihkan sekolah yang terjejas akibat banjir.
"Kita telah menggerakkan pasukan bantuan seramai 70 orang ke Sekolah Kebangsaan Pasir Raja.
"Selain bantuan berbentuk tenaga fizikal, bantuan berupa pakaian, bekalan makanan dan peralatan asas elektrik turut dihulurkan hasil sumbangan warga PSMZA yang sangat prihatin," katanya yang turut sama dalam program gotong - royong sehari itu.
Beliau turut sama menyampaikan sendiri bantuan kepada mangsa - mangsa banjir di kampung tersebut dan sekitarnya.
Zamra berkata, misi tersebut turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pancuan Empat Roda Dungun (PADAT) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Dungun yang turut membantu dalam kerja - kerja pembersihan.
"PSMZA akan sedia memberi bantuan dalam apa - apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan kepada institusi pendidikan seperti sekolah yang banyak terjejas akibat banjir dan mengakibatkan proses pembelajaran tidak dapat dijalankan,
"Insya-Allah selepas ini kita akan gerakkan misi yang kedua sekiranya keadaan sekolah yang terjejas ini tidak pulih sepenuhnya bagi memberi keselesaan kepada proses pembelajaran anak - anak di sini," ujarnya lagi.
31 Jan 24
318
PKM Batu Rakit Teruskan Tradisi Solat Hajat SPM
KUALA NERUS, 22 Januari - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Batu Rakit meneruskan tradisi meraikan dan mendoakan pelajar yang bakal berdepan peperiksaan melalui Majlis Solat Hajat Perdana SPM.
Majlis yang dilaksanakan di Masjid As Salam, di sini, semalam melibatkan masyarakat setempat dan ibu bapa pelajar bermula pada jam 7.30 malam dan berakhir pada jam 9.00 malam.
Berkaitan program terbabit, Pengarahnya, Azharuddin Shafee menjelaskan bahawa sememangnya telah menjadi tradisi bagi PKM Batu Rakit bersama-sama mengadakan solat hajat.
Azharrudin berkata, majlis itu dapat merapatkan hubungan antara masyarakat sekitar dengan pihak sekolah, warga pendidik dan juga ibu bapa pelajar.
“Program sedemikian bukan baru tetapi telah sebati dan menjadi tradisi kita di Batu Rakit, bukan hanya untuk peperiksaan namun banyak lagi program-program kemasyarakatan yang lain kerana PKM Batu Rakit adalah satu keluarga besar bagi masyarakat di sini.
"Seterusnya, majlis ini secara tidak langsung dapat mendidik pelajar agar sentiasa bergantung kepada Allah SWT dalam semua urusan hidup," ujarnya.
Tambahnya lagi, dengan terlaksananya program sebegini, pelajar akan sentiasa menghormati guru-guru dan mengenang jasa serta pengorbanan mereka dalam mendidik dan mengasuh pelajar menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa serta negara.
Dalam hal ini beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya Masjid As Salam Batu Rakit, JPKK setempat dan orang ramai yang bersama-sama hadir serta mendoakan kejayaan anak-anak yang berdepan peperiksaan.
22 Jan 24
173
80 JPKK Daerah Setiu Terima Watikah Pelantikan
SETIU, 17 Januari - Sebanyak 80 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Daerah Setiu menerima watikah perlantikan bagi sesi 2023/2024, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pelantikan itu turut dilaksanakan di seluruh negeri Terengganu melibatkan 1,050 JPKK.
"Hari ini, kita menjadi sebahagian daripada itu dalam memikul amanah dan tanggungjawab kepimpinan di peringkat komuniti.
"Setiap masalah yang timbul mesti ada puncanya dan bagi menyelesaikan masalah tersebut, duduklah berbincang untuk sama-sama mencari puncanya.
"Amalkan setiap apa yang nak dibuat adakan mesyuarat dan daripada itu kita akan dapat bekerja dengan sebaiknya,"jelasnya ketika ucapan perasmian di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom semalam.
Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri dan Langkap, Yusop Majid dan Azmi Maarof.
Terdahulu, taklimat berkenaan Pengkalan Data Utama (PADU) disampaikan oleh wakil Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu, wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
17 Jan 24
290