KUALA NERUS, 15 April - Melihat situasi semasa kenaikan kadar diesel dan harga barang dalam negara, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berharap pihak penganjur dapat menilai kembali subsidi penginapan sebanyak RM100 sehari bagi menggantikan ketiadaan perkampungan sukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi kali ini.
"Peringkat awal dahulu dia letak RM100. Jadi RM100 ini peringkat awal dulu okeylah. Tetapi pada hari ini kita nampak jumlah itu agak membebankan, kita juga harap dapat nilai balik seumpama itu dan menaikkan elaun mungkin lebih memberikan kemudahan kepada atlet-atlet kita.
"Sebab saya rasa dengan jumlah sekarang ni dengan RM100 satu kepala agak-agak 'struggle'lah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Kecemerlangan Akademik Atlet Sukan Terengganu, malam tadi.
Menurutnya, ketiadaan perkampungan sukan kali ini turut memberikan cabaran tersendiri kepada kontinjen bertanding.

"Risiko tetap ada. Tapi kita hendak menelah lebih awal dengan pelbagai risiko-risiko ini, mungkin ada 'advantage'lah kepada pihak tuan rumah tapi dia 'struggle' sedikit di peringkat kita sebagai pasukan pelawat," katanya.
Di peringkat Terengganu jelasnya, pihak persatuan telah dimaklumkan dan digerakkan untuk mendapatkan lokasi mereka sendiri yang paling selesa.
"Jadi mereka perlu nilailah lokasi strategik untuk mereka. Begitu juga penyediaan makanan untuk atlet-atlet mereka supaya semuanya berjalan lancar pada hari kejadian.
"Jadi buat masa ini saya dimaklumkan semua pihak telah pun berjaya mendapatkan lokasi-lokasilah. Walaupun agak-agak rumit sedikitlah kerana kita terpaksa bekerja tambah kerja lagi berbanding dengan sebelum ini.
"Alhamdulillah perkara ini telah dibuat dengan baik," tambahnya.

Tag :