PUTRAJAYA , 6 Oktober – Pentadbiran Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu terus membuktikan komitmen cemerlang dalam menguruskan aduan awam apabila menerima Penarafan Lima Bintang Naziran Pengurusan Aduan Awam Peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Bagi Tahun 2025.
Pengiktirafan berprestij itu merangkumi penilaian menyeluruh terhadap lima aspek utama iaitu Kecekapan Respons Awam, Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan, Kecekapan Proses Kerja, Tadbir Urus Pengaduan Awam dan Keunggulan Inovasi Digital.
Sijil pengiktirafan berkenaan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar kepada Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham dalam Majlis Apresiasi Penarafan Naziran Pengurusan Aduan Awam yang berlangsung di Dewan Damar Sari, Putrajaya, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menzahirkan rasa bangga atas kejayaan pentadbiran negeri yang berteraskan kecekapan warga kerja tempatan.
“Untuk rekod, sebagai salah sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu, SUK dan pentadbiran awam Negeri Terengganu diterajui oleh Pegawai Tadbir Negeri.
“Manakala bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, SUK dan pentadbiran awam di negeri tersebut diterajui oleh pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan,” katanya.
Pencapaian cemerlang ini membuktikan keupayaan jentera pentadbiran awam negeri dalam menyampaikan perkhidmatan yang cekap, responsif dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat Terengganu.