lightning-solid
Berita :
Kerajaan Negeri Alu-alukan Kajian Bebas Penyelidik Nilai Perkhidmatan PBT
Kerajaan Negeri Alu-alukan Kajian Bebas Penyelidik Nilai Perkhidmatan PBT
Khairul Faez Rosdi
2 jam yang lepas
59

KUALA TERENGGANU – Satu kajian komprehensif berkaitan kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Terengganu telah dilaksanakan bermula 17 September hingga 31 Disember tahun lalu, bagi membantu menilai tahap keberkesanan perkhidmatan serta kepuasan rakyat terhadap pentadbiran PBT.

Kajian tersebut diketuai oleh  Pensyarah Program Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Gs. Dr. Nor Hisham Md Saman dengan fokus utama untuk membantu PBT dan ahli majlis mengenal pasti kekuatan serta kelemahan perkhidmatan yang disediakan kepada masyarakat.

Menurut beliau, kajian ini bertujuan menilai tahap kepuasan pelanggan khususnya rakyat sebagai pengguna perkhidmatan PBT, selain menjadi input penambahbaikan kepada pihak pengurusan dan pembuat dasar di peringkat tempatan.

DSC09518 2.JPG 6.36 MB
Kajian berkenaan melibatkan empat PBT utama di Terengganu iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Daerah Besut (MDB), Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Antara kaedah yang digunakan termasuk tinjauan lapangan, Perbincangan Meja Bulat (Round Table Discussion – RTD) serta Perbincangan Kumpulan Fokus (Focus Group Discussion – FGD) yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dan pihak berkepentingan.

Kajian ini merangkumi beberapa isu utama perkhidmatan PBT seperti pembersihan pantai, pengurusan tandas awam, pemotongan rumput di kawasan perumahan, kawalan lalu lintas di kawasan PBT, kemudahan tempat letak keretas erta pengurusan parit dan saliran. 

Selain itu, isu melibatkan peranan dan cabaran ahli majlis PBT turut diberi perhatian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelidik UiTM atas inisiatif menjalankan kajian bebas yang memberi tumpuan kepada kepuasan rakyat.

“PBT merupakan kerajaan ketiga dalam sistem pentadbiran negara dan mempunyai punca kuasa tersendiri melalui perundangan yang ditetapkan.

“Kita tidak boleh menolak peranan PBT dan kerajaan. Kesemua pihak perlu bergandingan. Contohnya, hasil cukai pintu berada di bawah PBT, dan kerajaan negeri menyalurkan bayaran kepada PBT, malah dibayar sepenuhnya, yang memberi kesan positif kepada pengurusan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Wan Sukairi turut menyentuh isu pengurusan sisa pepejal yang sering menjadi perhatian rakyat di Terengganu, yang tertakluk di bawah Akta 672, serta mencadangkan agar kajian memberi tumpuan lebih mendalam kepada sasaran utama seperti peniaga dan komuniti setempat yang banyak berurusan dengan pihak pbt.

Beliau turut menyatakan kerajaan negeri amat mengalu-alukan kerjasama dengan pihak UiTM dan penyelidik luar kerana dapatan kajian yang diperoleh adalah bersifat objektif dan tidak berpihak.

“Dapatan kajian ini amat penting kerana ia mencerminkan suara sebenar rakyat Terengganu. Penyelidik tidak terlibat dengan mana-mana parti atau kepentingan, sebaliknya menilai berdasarkan data dan maklum balas sebenar daripada rakyat,” katanya.

Beliau berharap hasil kajian ini dapat menjadi panduan berkesan dalam memperkukuh tadbir urus PBT serta meningkatkan kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan dan kepuasan rakyat di seluruh negeri Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan