Berita :
Sinergi Pelbagai Agensi Kukuhkan Usaha Pemeliharaan Pantai di Besut
Sinergi Pelbagai Agensi Kukuhkan Usaha Pemeliharaan Pantai di Besut
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
84

Oleh : Ahmad Hilmi

BESUT, 9 Mei – Kerjasama padu melibatkan pelbagai agensi dan sukarelawan daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini menjadi bukti keberkesanan sinergi dalam usaha menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar, khususnya kawasan pantai pelancongan.

Ahli Parlimen Besut, Dato' Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang menyempurnakan majlis penutupan Program Bersih Pantai EPIC 3.0, menyifatkan penglibatan pelbagai pihak sebagai manifestasi kesepaduan masyarakat setempat dalam menjaga khazanah alam.

Menurut beliau, program tersebut melibatkan kerjasama erat antara Pejabat Daerah dan Tanah Besut, Majlis Daerah Besut, PDRM, Khidmat Malaysia Besut, Jabatan Amal Besut, ARC Besut Club, Briged Muslimat serta komuniti 4x4 Kota Putera.

"Penglibatan menyeluruh itu membuktikan bahawa agenda kebersihan dan kelestarian alam sekitar tidak boleh digerakkan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan komitmen bersepadu semua pihak," jelasnya ketika berucap pada program Bersih Pantai Epic 3.0, pada semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong cadangan EPIC Berhad untuk memperluaskan program pembersihan ke Pulau Perhentian, bagi memastikan kawasan tersebut terus kekal sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Beliau menegaskan, usaha berterusan seperti ini penting bagi memastikan keindahan alam semula jadi Besut terus terpelihara untuk generasi akan datang serta kekal menjadi tarikan utama pelancong dalam dan luar negara.

Sementara itu, semangat kesukarelawanan itu turut diperkukuhkan dengan kehadiran 150 mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) daripada Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) serta Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM).

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA, Prof. Madya Dr. Mohd A'tarahim Mohd Razali berkata, penglibatan mahasiswa itu bertujuan menterjemahkan nilai iman dalam bentuk khidmat komuniti yang nyata.

"Kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Inilah peluang untuk anak muda kita menyemai rasa cinta kepada alam sekitar dan melatih mereka menjadi pemimpin yang peka terhadap isu ekosistem," jelas beliau.

Sementara itu, wakil Geng Plastik Ija (GPi), Puan Afifah Aziz memperincikan bahawa daripada keseluruhan 1,293 kilogram (kg) sampah yang dikumpul, sebanyak 375 kg merupakan botol plastik yang akan dikitar semula, manakala 918 kg lagi adalah sampah campuran seperti polistiren, pukat hanyut dan tali.

"Sampah-sampah ini mengambil masa yang sangat lama untuk terurai dan berisiko menjadi mikroplastik yang akhirnya masuk ke rantaian makanan dan kembali ke pinggan kita.

"Oleh itu, agenda nasional untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna amat penting bagi menyelamatkan bumi," tegasnya.

Menurutnya, Program anjuran EPIC Berhad dengan kerjasama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) itu berjaya mengumpulkan sebanyak 1.293 tan sampah dalam tempoh singkat sekali gus membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Hj. Muhtar Suhaili berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang bukan sahaja menumpukan keuntungan, malah kebajikan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.

Menurut beliau, pemilihan Besut sebagai lokasi program kali ini turut membuka ruang kerjasama lebih luas bersama komuniti setempat.

"Di EPIC, kita bukan sahaja mengutamakan hasil pendapatan dan keuntungan. Alhamdulillah, walaupun keuntungan syarikat melonjak tinggi, tanggungjawab sosial kepada Kerajaan Negeri dan masyarakat tetap diutamakan.

"Ini merupakan kali pertama kita mengadakan program di luar kawasan operasi tradisi di Kemaman dan Kuala Terengganu, dan kita memilih Besut sebagai destinasi seterusnya," katanya ketika berucap pada program tersebut.






Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan