KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Sebanyak 90 peratus aduan kebersihan di kawasan kritikal dan pelancongan di Terengganu disasarkan selesai dalam tempoh 24 jam menerusi cadangan petunjuk prestasi utama (KPI) kebersihan bermula 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Razali Idris berkata, sasaran itu sebahagian daripada usaha menjadikan kebersihan sebagai KPI khusus setiap pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan penilaian berdasarkan keadaan sebenar di lapangan.
“Kita tidak mahu kebersihan hanya cantik selepas gotong-royong. Sasaran kita ialah menjadikan Terengganu bersih setiap hari, sepanjang tahun.
“Sebab itu mulai 2027, saya cadangkan kebersihan dijadikan KPI khusus setiap PBT dan diukur berdasarkan keadaan sebenar di lapangan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada 5 Oktober.
Menurutnya, kerajaan negeri turut mencadangkan pengurangan sekurang-kurangnya 30 peratus aduan berkaitan sampah dan pencemaran menjelang 2027 berbanding garis dasar 2026.
Beliau berkata, semua PBT juga dicadangkan menjalankan audit kebersihan sekurang-kurangnya sekali sebulan, manakala 100 peratus kawasan pelancongan utama perlu mempunyai jadual pembersihan dan pemantauan berkala.
“Setiap PBT turut perlu mengenal pasti ‘hotspot kebersihan’ untuk dipantau secara berterusan serta menyediakan laporan pencapaian pada setiap suku tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Razali berkata, penguatkuasaan terhadap restoran, penjaja, premis perniagaan dan individu yang membuang sampah atau mengotorkan kawasan awam perlu diperkemaskan, termasuk tindakan kompaun terhadap pihak yang melakukan kesalahan.
“Pemantauan juga perlu diperkukuh di kawasan pantai dan pulau, khususnya lokasi tumpuan pelancong, manakala setiap aduan berkaitan sampah perlu mempunyai tempoh tindakan yang jelas,” ujarnya.
Katanya, kawasan pelancongan perlu memenuhi standard kebersihan minimum, termasuk mempunyai tandas bersih, tong sampah mencukupi, tiada longgokan sampah dan saliran tidak tersumbat, selain penyelenggaraan kawasan awam secara berkala.
Usaha itu turut meliputi pantai, pulau, tasik, taman rekreasi, kawasan warisan dan pusat bandar yang menjadi produk pelancongan utama Terengganu.
Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebersihan dan komuniti, selain menyediakan bantuan serta peruntukan kecil bagi menggerakkan program gotong-royong secara berterusan.
“Pengusaha pelancongan termasuk hotel, chalet, restoran, pengusaha bot dan operator pulau juga perlu memainkan peranan dalam memastikan kebersihan kawasan masing-masing.
“Kebersihan bukan kerja kerajaan semata-mata. Prinsipnya mudah, ‘Sapu Bersih rohani, Sapu Bersih jasmani’,” katanya.