lightning-solid
Berita :
Rezeki Laut Sura, Tarik Pukat Jadi Tarikan
Rezeki Laut Sura, Tarik Pukat Jadi Tarikan
Naim Fadhilah Kamaruddin
13 jam yang lepas
427

DUNGUN, 15 Ogos - Lebih 100 kilogram hasil laut berjaya dinaikkan menerusi aktiviti tarik pukat yang menjadi antara tarikan utama Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, di sini, hari ini.

Aktiviti berkenaan turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin bersama penduduk setempat, sekali gus mencetuskan suasana meriah apabila pukat yang ditarik ke pesisir pantai dipenuhi hasil laut.

Hasil tangkapan didominasi ikan selar, selain turut memperoleh ikan todak, ketam dan sotong katak.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, hasil tangkapan berkenaan membuktikan kekayaan sumber laut yang dimiliki Terengganu dan menjadi antara nikmat yang dapat dirasai masyarakat di negeri ini.

“Alhamdulillah, hari ini kita dapat lihat sendiri hasil laut yang kita dapat. Lebih 100 kilogram berjaya dinaikkan dan kebanyakannya ikan selar, selain ada ikan todak, ketam dan sotong katak.

“Ini menunjukkan hasil laut Terengganu memang cukup banyak dan menjadi satu nikmat untuk kita semua,” katanya ketika ditemui selepas menyertai aktiviti tarik pukat itu.

Beliau berkata, aktiviti seperti tarik pukat bukan sahaja menyerlahkan kekayaan hasil laut Terengganu, malah memberi peluang kepada pemimpin untuk bersama-sama masyarakat dalam suasana santai dan penuh kemesraan.

“Antara nikmat duduk di Terengganu ialah kita dapat melakukan aktiviti sebegini bersama orang kampung. Kita boleh turun padang, bersama-sama mereka dan menikmati hasil laut yang ada.

“Benda seperti ini mungkin nampak sederhana, tetapi ia sebenarnya mengeratkan hubungan kita dengan masyarakat dan memberi ruang untuk kita bersama-sama menikmati suasana kehidupan kampung,” katanya.

Menurutnya, penglibatan masyarakat dalam aktiviti tradisi seperti itu juga wajar diteruskan kerana mampu menyemarakkan semangat kebersamaan serta menghidupkan suasana karnival.

Aktiviti tarik pukat tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila penduduk dan peserta bersama-sama membantu menarik pukat ke daratan sebelum hasil tangkapan dikumpulkan.

Lebih 100 kilogram hasil laut yang diperoleh itu menjadi antara tarikan utama karnival, selain memberi peluang kepada masyarakat menikmati sendiri hasil laut segar dari perairan Terengganu.



Tag :

Artikel Berkaitan