Berita :
Pokok Hempap Rumah Depan Mata, Seminit Selepas Penghuni Keluar
Pokok Hempap Rumah Depan Mata, Seminit Selepas Penghuni Keluar
Hafiz Rosli
19 jam yang lepas
68

KEMAMAN, 30 Mei – Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila rumahnya di Kampung Yak Yah, Kijal, dihempap sebatang pokok dalam kejadian ribut petir kira-kira jam 4.30 petang kelmarin. 

Mangsa, Abd Manan bin Othman, 59, berkata kejadian berlaku ketika beliau berada seorang diri di rumah, manakala dua orang anaknya tiada di rumah kerana pulang ke kampung halaman sempena cuti Hari Raya Aidiladha.

Menurutnya, ketika hujan lebat dan angin kencang melanda, beliau sedang mengelap air hujan yang masuk ke dalam rumah akibat kebocoran bumbung.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat. Saya terus berlari keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku. 

“Tidak sampai seminit selepas saya keluar, saya melihat sendiri sebatang pokok tumbang lalu menghempap rumah,” katanya kepada pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Kampung Ibok kelmarin. 

Dalam kejadian itu, rumah beliau mengalami kerosakan akibat dihempap pokok besar tersebut, namun beliau bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.



Sementara itu, ribut dan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan turut menjejaskan sekurang-kurangnya sembilan buah rumah di Kampung Yak Yah, Ibok, Kijal.

Seorang lagi penduduk terjejas, Mohamad Ikmal Hafiz Arif, 29, berkata bumbung bilik tidur dan ruang tamu rumahnya diterbangkan angin kencang ketika kejadian.

“Saya ketika itu sedang tidur seorang diri di rumah. Angin kuat mengejutkan saya, tetapi saya sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata kebanyakan rumah yang terjejas mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan dinding.

Beliau memaklumkan bahawa setakat ini, lima daripada sembilan keluarga terjejas telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Ibok.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan