lightning-solid
Berita :
Hilang Sembilan Jam di Pacur Batu 5, Tiga Mangsa Ditemukan Selamat
Hilang Sembilan Jam di Pacur Batu 5, Tiga Mangsa Ditemukan Selamat
Amiirullah Mansor
9 jam yang lepas
69

DUNGUN, 29 Julai – Seorang lelaki bersama dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang kira-kira sembilan jam di kawasan hutan berhampiran air terjun di Pacur Batu 5, dekat Pondok Munazil Siddiqin, ditemukan dalam keadaan selamat awal pagi tadi.

Mangsa terdiri daripada Izham Haziq Mohd Ridhuan, 23, serta dua kanak-kanak berusia 10 tahun, Muhammad Harraz Naufal Zamri dan Ahmad Al Baihaqi Ahmad Nazri.

Ketiga-tiga mereka dipercayai tersesat selepas mendaki bukit melalui laluan anak sungai untuk menuju ke bahagian atas air terjun sekitar pukul lima petang semalam.

Sebelum itu, mereka bersama beberapa rakan dilaporkan pergi ke kawasan berkenaan untuk melakukan aktiviti riadah dan mandi-manda, namun tidak pulang sehingga lewat malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Penguasa Bomba II Yahaya Hanafi berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan ketiga-tiga mangsa pada pukul 10.47 malam.

Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat digerakkan dengan penglibatan tujuh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun serta Paka, tiga anggota polis dan kira-kira 30 orang awam.

Operasi berkenaan ditangguhkan sementara pada pukul 1 pagi atas faktor keselamatan sebelum pihak polis memaklumkan bahawa ketiga-tiga mangsa berjaya ditemukan oleh orang awam kira-kira pukul 2.20 pagi.

Kesemua mangsa kemudian dibawa keluar dari kawasan tersebut dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat menzahirkan rasa syukur apabila ketiga-tiga mangsa berjaya ditemukan tanpa mengalami sebarang kejadian tidak diingini.

“Alhamdulillah, tiga mangsa yang dilaporkan hilang di kawasan Pacur Batu 5 berjaya ditemukan dalam keadaan selamat sekitar pukul 2 pagi tadi.

“Mereka dipercayai tersesat selepas masih belum pulang dari kawasan pacur berkenaan. Syukur, ketiga-tiganya berjaya ditemukan dan terus dibawa keluar dengan selamat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi, pasukan penyelamat dan penduduk yang berganding bahu sepanjang operasi tersebut.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada JBPM, PDRM, APM, Jabatan Amal, penduduk kampung serta semua pihak yang turun membantu dalam operasi mencari dan menyelamat ini.

“Kerjasama pantas semua pihak telah membantu memastikan mangsa ditemukan dalam keadaan selamat dan dapat kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.

Beliau berharap kejadian tersebut menjadi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di kawasan sungai, air terjun atau hutan.

“Ibu bapa dan penjaga perlu sentiasa memantau keberadaan anak-anak. Pastikan mereka tidak memasuki kawasan yang berisiko tanpa pengawasan, terutama ketika cuaca tidak menentu atau hari semakin gelap.

“Keselamatan mesti menjadi keutamaan. Jangan mengambil mudah keadaan muka bumi, arus sungai dan laluan hutan yang tidak dikenali,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan