KUALA TERENGGANU, 25 Mei – PETRONAS mengesahkan berlaku satu insiden di FSO Sepat, luar pesisir Pantai Timur Semenanjung Malaysia, yang mengorbankan tiga kakitangan kontraktor.
Menurut kenyataan media PETRONAS, insiden itu berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam ketika kerja-kerja penyelenggaraan bot penyelamat sedang dijalankan di FSO Sepat, yang terletak di medan Sepat, luar pesisir Terengganu.
Seramai empat kakitangan kontraktor terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Tiga kakitangan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, kira-kira jam 5.57 petang semalam.
“Seorang lagi kakitangan yang cedera telah dipindahkan untuk mendapatkan rawatan perubatan dan masih berada di bawah pemerhatian,” menurut kenyataan itu.
PETRONAS memaklumkan, siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
Dalam masa sama, PETRONAS turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga, rakan-rakan serta rakan sekerja mangsa yang terkorban.
Menurut syarikat itu, keutamaan segera ketika ini adalah memberi sokongan terhadap kesejahteraan semua pihak yang terkesan akibat insiden tersebut.
Tag :