PERMATA UUM Dan USM Berusaha Hidupkan Kembali Keindahan Jambu Bongkok
Abdul Fattah Kamarudin
12 jam yang lepas
163
MARANG, 10 Mei – Mahasiswa Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) tampil menggerakkan usaha menghidupkan kembali keindahan Kampung Jambu Bongkok yang suatu ketika dahulu terkenal dengan deretan pohon kelapa di pesisir pantainya.
Melalui Program Jalinan Kasih PERMATA UUM x USM, mahasiswa bersama penduduk kampung telah menjalankan aktiviti penanaman lebih 50 anak pokok kelapa di kawasan pinggir pantai sebagai usaha memulihkan semula landskap kampung tersebut.

“Kampung Jambu Bongkok ini terkenal dengan keindahan pohon kelapa, namun akibat serangan serangga, berlakulah kemusnahan.
“Jadi inisiatif daripada mahasiswa PERMATA UUM dan USM, kami melakukan aktiviti penanaman semula pokok kelapa di kawasan pinggir pantai.
“Ini adalah usaha daripada kami sendiri untuk menghidupkan semula suasana dan keindahan Jambu Bongkok seperti dahulu,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang turut serta dalam aktiviti penanaman, Ibrahim Mohd, 70, berkata pokok kelapa di kawasan tersebut diserang oleh dua jenis serangga utama iaitu ulat bulu dan kumbang tanduk.
“Pokok kelapa ni diserang dua serangga, ulat bulu dan kumbang tanduk. Ulat bulu makan daun, kumbang tanduk pula duduk di batang dan bertelur.
“Selepas dewasa, kumbang mula panjat dan tebuk pucuk untuk makan bahagian lembut dalam pokok,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Sulaiman Sulong berkata, Jambu Bongkok suatu ketika dahulu cukup terkenal dengan suasana redup dan cantik hasil deretan pohon kelapa yang menjadi tarikan pengunjung.

“Namun atas faktor serangan serangga, ia telah musnah. Jadi saya amat menyokong usaha mahasiswa ini untuk menghidupkan kembali keindahan Jambu Bongkok. Semoga pelancong kembali memenuhi kampung ini,” katanya.
Tag :