Berita :
Pentadbiran Dinamik Perlu Diterjemah Melalui Tindakan, Bukan Sekadar Dasar
Pentadbiran Dinamik Perlu Diterjemah Melalui Tindakan, Bukan Sekadar Dasar
Mastura Jamal Din
5 jam yang lepas
66

KUALA TERENGGANU, 10 Mei  – Program lawatan kerja ke setiap daerah bukan sekadar tertumpu kepada sesi taklimat pentadbiran atau meninjau projek pembangunan semata-mata, sebaliknya menjadi medan penting untuk memahami realiti sebenar yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, lawatan tersebut memberi peluang kepada pentadbiran negeri melihat sendiri keadaan sebenar di daerah-daerah, mendengar permasalahan secara langsung serta mencari penyelesaian yang praktikal dan berkesan.

Menurut beliau, segala isu yang dikenal pasti di peringkat daerah akan dibawa ke peringkat tertinggi bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

“Yang paling penting ialah memastikan hala tuju pentadbiran negeri diterjemahkan secara berkesan melalui koordinasi yang mantap, penyelarasan yang tersusun serta penyampaian perkhidmatan yang cekap, responsif dan benar-benar memberi impak kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Perjumpaan Berhormat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Delegasi SUK bersama kakitangan kerajaan di daerah Besut di Dewan Arena, Kota Putera Square, Besut di sini hari ini.

Mohd Azmi berkata, penjawat awam perlu memahami bahawa setiap bentuk perkhidmatan yang diberikan akan membentuk persepsi masyarakat terhadap negeri ini pada masa hadapan.

“Jika kita memberi perkhidmatan yang baik, ia akan menjadi gambaran baik tentang Terengganu kerana apa yang kita lakukan hari ini akan menjadi pengalaman dan penilaian rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan Terengganu menerima pengiktirafan sebagai antara negeri paling bahagia termasuk tiga daerah paling bahagia di negara ini juga berpunca daripada tahap layanan dan hospitaliti yang baik diberikan kepada masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menegaskan seluruh jentera pentadbiran perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan mengutamakan perkongsian maklumat, penyelarasan tindakan serta meninggalkan budaya bekerja secara bersendirian.

“Kita perlu melihat konteks yang lebih luas terhadap apa sahaja dasar yang dilaksanakan. Jika pelaksanaannya baik, maka baiklah hasilnya dan jika cekap pelaksanaannya, maka cekaplah perkhidmatan yang diterima rakyat.

“Masyarakat hari ini akan menilai tahap perkhidmatan yang diberikan, sama ada di bandar atau luar bandar, tanpa mengira fahaman politik. Mereka hanya mahukan yang terbaik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya setiap jabatan dan agensi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik agar tiada ruang untuk masyarakat melontarkan komen negatif terutama di media sosial.

“Inilah roh kepada gagasan ‘Pentadbiran Dinamik, Perkhidmatan Cemerlang’ yang ingin kita budayakan dalam pentadbiran negeri,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan