Berita :
Penyatuan Melayu Masih Retorik, Perpecahan Berlaku di Semua Peringkat Termasuk Mufti
Penyatuan Melayu Masih Retorik, Perpecahan Berlaku di Semua Peringkat Termasuk Mufti
Ahmad Zaeem Zainudin
8 jam yang lepas
103

KUALA TERENGGANU, 3 April - Perpecahan dalam kalangan Melayu hari ini bukan sahaja tertumpu kepada politik, malah turut melibatkan golongan agamawan termasuk mufti, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap keupayaan dalam menyatukan ummah di negara ini.

Pendakwah bebas, Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah menegaskan, realiti semasa memperlihatkan perpecahan yang berlaku secara menyeluruh dalam pelbagai lapisan masyarakat.

"Hari ini kita bukan saja berpecah. Bukan saja parti-parti politik ni berpecah. Sesama agamawan berpecah. Sesama mufti berpecah sesama ustaz pun berpecah. Sesama NGO (Badan Bukan Kerajaan) pun berpecah. 

"Keadaan itu menjadikan agenda penyatuan Melayu masih gagal diterjemahkan dalam bentuk realiti.

"Kalau soalan tu ditanya pada saya tajuk (soalan) kita ini, ianya satu retorik. Sebab dia tidak berlaku dalam bentuk realiti," jelasnya apabila disoal mengenai keberadaan penyatuan Melayu dalam Forum Khas Melayu Bersatu, Ummah Maju sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026 di sini semalam.

Situasi tersebut, katanya, lebih membimbangkan apabila Melayu yang berkongsi agama, bahasa dan budaya masih gagal bersatu, sekali gus menyukarkan usaha untuk menyatupadukan masyarakat majmuk di Malaysia.

"Tuan-tuan tengok daripada segala aspek, sebut saja Melayu, di mana mereka bersatu?" kritis mantan pensyarah di sebuah universiti Tempatan itu terhadap situasi semasa penyatuan Melayu yang digambarkan didalam penjelasannya.

"Tuan-tuan, dengan budaya Melayu yang begitu indah ini, yang bertepatan dengan Islam ini,  Kalau dia bersatu, tuan-tuan boleh nampak tak kehebatan suatu bangsa ini?" soalnya lagi.

Menurutnya, sebagaimana yang telah termaktub dalam sejarah, apabila Melayu menerima Islam, maka berlakunya era kegemilangan Kesultanan Melayu Islam seperti di Melaka sehinggalah ke Champa.

"Maknanya kita sedar, apabila Melayu menjadikan Islam sebagai satu cara hidup, maka mereka nampak hebat, sampai orang India, orang Cina pun masuk Islam," ujarnya.

Oleh yang demikian, beliau menegaskan bahawa kekuatan sesuatu bangsa hanya dapat dibina melalui kesatuan yang kukuh, melalui agama Islam sebagaimana yang ditunjukkan dalam sejarah Islam.

"Kita akan jadi kuat jika kita bersatu. Bila kita bersatu, baru kita boleh fokus dalam usaha memperkuatkan diri kita.

Merujuk kepada peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. ke Madinah, Ridhuan menjelaskan bahawa selain daripada membina sahsiah dan akhlak, Nabi juga menguatkan pertahanan negara Madinah itu sendiri.

"Perkara utama yang Nabi lakukan apabila berhijrah ke Madinah adalah memperkuatkan keselamatan dan pertahanan Madinah.

"Sebab Madinah negara baru, umat Islam tidak ramai. Sebab itu dalam seni peperangan yang berlaku, orang Islam tidak pernah lebih pada orang kafir Quraisy.

"Perang Badar 313 orang (Islam), kafir quraisy 1000 orang. Perang Uhud, walaupun kita nampak kalah tapi kita menang, lebih kurang kita ada ada 1000, orang kafir ada 3000 orang. Perang Khandak pun sama," jelasnya.

Sementara itu, Shah Kirit Kakulal Govindji menjelaskan bahawa jalan utama ke arah penyatuan ummah adalah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bukan sekadar amalan tradisi.

"Tapi sebenarnya kalau kita orang Islam kembali kepada pangkuan Islam, amal Islam dengan pemahaman bukan ikutan semata-mata tapi berpandu kepada Al-Quran dan sunnah Nabi S.A.W.," katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Panel Penasihat Iman (Istitabah) Jabatan Mufti Selangor berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja mampu menyatukan umat Islam, malah turut memberi kesan kepada hubungan dengan masyarakat bukan Islam.

"Sebab patutnya hubungan kita di Malaysia, orang-orang Islam ni adalah abang. Yang bukan beragama Islam sebagai minoriti, mereka adalah adik. 

"Sebagai abang, kita patut melindungi adik. Itu yang 'non-muslim' patut rasa dengan kita," tambahnya.

Senada dengan kenyataan itu, Ridhuan Tee turut menekankan bahawa dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum, pendekatan dakwah dan sikap mesra terhadap Islam amat penting.

"Kalau kita tidak tarik orang-orang lain itu masuk Islam, kalau mereka tak masuk Islam pun, dia lembut dengan Islam," katanya.

Justeru, forum berkenaan menegaskan bahawa penyatuan Melayu perlu menjadi asas kepada pembinaan ummah yang lebih besar, dengan Islam sebagai teras utama yang bukan sahaja menyatukan satu bangsa, malah mampu menghimpunkan pelbagai bangsa di bawah satu akidah, atau sekurang-kurangnya mewujudkan keharmonian dalam masyarakat majmuk.


Ketupat

Artikel Berkaitan