lightning-solid
Berita :
Pembinaan ECRL Terengganu Capai 93.55 Peratus
Pembinaan ECRL Terengganu Capai 93.55 Peratus
Zahid Mustafar
4 jam yang lepas
106

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu mencatat kemajuan kerja sebanyak 93.55 peratus, menjadikan negeri ini antara yang paling hadapan dalam pelaksanaan projek berimpak tinggi tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata pencapaian itu hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, kontraktor utama dan pasukan pelaksana projek di lapangan.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Terengganu atas bantuan yang telah diberikan kepada kami di ECRL, membolehkan kita mencapai kemajuan yang baik setakat Oktober 2025 ini, iaitu sebanyak 88.08 peratus di seluruh negara.

"Di negeri Terengganu, kita sudah mencapai kemajuan kerja sebanyak 93.55 peratus, dan ini membuktikan komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan projek ini berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan bersama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, ke tapak projek ECRL di Stesen ECRL Kuala Terengganu, Durian Guling, semalam.

SYA_6146.jpg 315.42 KB
Darwis turut memaklumkan, dua stesen utama di negeri ini menunjukkan perkembangan positif, dengan Stesen Bandar Permaisuri mencapai 77 peratus kemajuan, manakala Stesen Utama Kuala Terengganu mencatat 68 peratus keseluruhan.

"Lawatan hari ini bersama Menteri Besar memberi peluang untuk menilai sendiri kemajuan projek ini.

"Dan tentunya, kemajuan ini didorong oleh usaha gigih kontraktor utama kita, China Communications Construction (CCC-ECRL), yang memastikan kita kekal di landasan terbaik untuk siap sepenuhnya pada Disember 2026," tambah beliau.

Menurutnya, perkhidmatan pertama ECRL dijangka bermula pada Januari 2027, melibatkan laluan dari Kota Bharu ke Gombak sebagai fasa pertama operasi.

"Servis pertama kita akan bermula pada Januari 2027 bermula daripada Kota Bharu ke Gombak.

"Inilah hasil daripada komitmen dan kerjasama baik pelbagai pihak dalam menjayakan projek mega ini," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Besar bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut menaiki tren dari Stesen Setiu ke Stesen Kuala Terengganu bagi meninjau perkembangan kerja di lapangan.
SYA_6115.jpg 530.52 KB


Artikel Berkaitan