Jalur Gemilang
Berita :
Monument Explorer, Night Cruise Jadi Taruhan Baharu TTI  2027
Monument Explorer, Night Cruise Jadi Taruhan Baharu TTI 2027
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
37

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober – Pengunjung Taman Tamadun Islam (TTI) bakal menikmati pengalaman lebih menarik apabila destinasi pelancongan ikonik itu memperkenalkan aktiviti interaktif dan pengalaman pelayaran malam bagi menyemarakkan Tahun Melawat Terengganu 2027 (TMT 2027).

Antara tarikan yang diketengahkan ialah Monument Explorer, aktiviti yang mengajak pengunjung meneroka Taman Monumen menerusi misi pengembaraan dan cabaran, sekali gus menjadikan lawatan lebih menyeronokkan berbanding sekadar melihat replika seni bina Islam.

TTI turut menawarkan pengalaman Night Cruise sebagai aktiviti hujung minggu untuk pengunjung menikmati persiaran sungai pada waktu malam, sekali gus menambah pilihan aktiviti rekreasi di Kuala Terengganu.

Pendekatan itu dilaksanakan bagi memberikan nafas baharu kepada produk sedia ada, selaras dengan perubahan cita rasa pelancong yang semakin mengutamakan pengalaman unik dan aktiviti interaktif.

Sejak dibuka pada 2008 hingga 2025, TTI merekodkan seramai 12.27 juta pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, seramai 531,211 pengunjung direkodkan sepanjang tahun lalu, manakala 332,353 pengunjung mengunjungi destinasi berkenaan bagi tempoh Januari hingga September 2026.

Dalam usaha memastikan kemudahan terus berada dalam keadaan baik, sebanyak RM2.9 juta diperuntukkan pada 2025 bagi kerja pembaikan Taman Monumen.

Kerja-kerja berkenaan melibatkan Monumen Alhambra, Masjid Suleyman, kincir air, laluan pejalan kaki serta tandas.

TTI turut mempunyai kelebihan tersendiri sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan pusat sehenti apabila pengunjung boleh menikmati keindahan seni bina Islam, mengunjungi Masjid Kristal, menyertai aktiviti persiaran sungai serta menjamu selera di lokasi sama.
Bagaimanapun, persaingan dalam industri pelancongan, khususnya sektor makanan dan minuman serta penganjuran majlis, menuntut pihak pengurusan terus melakukan penambahbaikan agar kekal relevan.

Menjelang TMT 2027, TTI merancang mempelbagaikan program dan acara, memperkenalkan pakej pelancongan mengikut segmen pengunjung serta meningkatkan kualiti perkhidmatan menerusi latihan kakitangan.

Aktiviti gotong-royong dan kerja penyelenggaraan juga dilaksanakan secara berkala bagi memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih, ceria dan selesa.

Usaha itu diharap dapat menjadikan TTI antara destinasi wajib singgah pelancong yang berkunjung ke Terengganu, selain menawarkan pengalaman lebih bermakna kepada pengunjung tempatan dan luar negara.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan