KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Solidariti terhadap Palestin tidak boleh sekadar terhenti pada slogan, doa dan kenyataan simpati, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan strategik merangkumi diplomasi, ekonomi, media dan bantuan kemanusiaan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kesatuan dunia Islam perlu diperkukuh bagi memastikan sokongan terhadap rakyat Palestin menghasilkan perubahan yang nyata dan berkesan.
Menurutnya, tiga tahun selepas peristiwa Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023, penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza, terus menguji kesungguhan masyarakat antarabangsa dalam mempertahankan keadilan dan maruah manusia.
"Isu Palestin bukan sekadar konflik wilayah, sebaliknya melibatkan hak menentukan masa depan sendiri, kebebasan daripada penjajahan serta hak rakyat Palestin untuk hidup aman di tanah air mereka.
"Kita tidak boleh membiarkan Palestin menjadi sekadar tajuk berita yang datang dan pergi. Kita tidak boleh membiarkan penderitaan rakyat Gaza hanya mengundang simpati sementara sebelum dilupakan apabila perhatian dunia beralih kepada isu lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika merasmikan Terengganu International Summit 2026 : Sambutan Tiga Tahun Taufan Al -Aqsa di Stadium Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Khalil berkata, dunia Islam perlu mengatasi perpecahan politik, percanggahan kepentingan dan kelemahan kerjasama strategik yang menyebabkan kekuatan bersama gagal dimanfaatkan secara optimum.
Katanya, dunia Islam memiliki sumber kekayaan, kedudukan geografi strategik, jumlah penduduk yang besar serta warisan peradaban yang luas, namun semua kelebihan itu perlu digembleng melalui kerjasama yang lebih tersusun.
Menurutnya, kewujudan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pelbagai platform serantau sahaja tidak memadai sekiranya tidak disusuli keputusan yang jelas, tindakan konsisten serta hasil yang dapat dirasai umat Islam.
"Kesatuan ummah tidak semestinya bermula dengan keseragaman dalam semua perkara. Kesatuan boleh bermula dengan kesepakatan terhadap prinsip yang tidak boleh dikompromikan, iaitu keadilan, maruah manusia, pembelaan terhadap golongan tertindas dan kebebasan Palestin daripada penjajahan," katanya.
Tambah beliau, terdapat lima pendekatan utama yang perlu diberi perhatian bagi mengangkat isu Palestin daripada sekadar pernyataan simpati kepada agenda strategik bersama dunia Islam.
"Pendekatan itu merangkumi pengukuhan kesatuan diplomatik, kerjasama ekonomi, penguasaan media dan naratif, pendidikan generasi muda serta penyelarasan bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula Palestin," ujarnya lagi.
Katanya, kerjasama media dan penyelidikan juga penting bagi memastikan fakta disampaikan dengan tepat, selain meningkatkan keupayaan dunia Islam menangani penyebaran maklumat palsu.
Dalam aspek ekonomi pula, beliau berkata, kerjasama perdagangan, dana kemanusiaan dan bantuan pembangunan perlu digerakkan melalui mekanisme yang sah serta berkesan.
"Solidariti mesti diterjemahkan menjadi dasar, peruntukan, jaringan kerjasama dan tindakan yang nyata," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha menyelamatkan nyawa, mempertahankan hak asasi manusia dan menuntut keadilan untuk rakyat Palestin.
Menurutnya, dunia Islam perlu bergerak melangkaui kerjasama ketika berhadapan dengan tragedi semata-mata, sebaliknya membina kesatuan jangka panjang dalam bidang ilmu, diplomasi, ekonomi, teknologi dan tindakan kemanusiaan.
Katanya, penderitaan rakyat Palestin seharusnya menjadi peringatan kepada umat Islam untuk memperkukuh kerjasama dan membina kekuatan bersama, bukannya membiarkan perpecahan melemahkan usaha mempertahankan keadilan.