lightning-solid
Berita :
Menteri Besar Tinjau Kemajuan Projek ECRL
Menteri Besar Tinjau Kemajuan Projek ECRL
Zahid Mustafar
5 jam yang lepas
128

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Stesen Setiu dan Stesen Kuala Terengganu bagi meninjau perkembangan semasa pembinaannya di negeri ini semalam.

Lawatan itu turut disertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta wakil Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan kontraktor utama, China Communications Construction (CCC-ECRL).

Dalam lawatan tersebut, Dr. Ahmad Samsuri diberi taklimat teknikal mengenai kemajuan kerja dan pembangunan stesen, selain berpeluang menaiki tren pandu uji menggunakan gerabak berkuasa diesel yang dipandu pada kelajuan maksimum 80 kilometer sejam antara kedua-dua stesen berkenaan.

SYA_5490.jpg 1.09 MB
Menurut beliau, perkembangan positif ini menggambarkan kesungguhan semua pihak dalam memastikan projek ECRL disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat besar kepada rakyat negeri Terengganu.

"Lawatan hari ini menunjukkan tahap kemajuan projek yang amat baik dan kita yakin ECRL akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu bagi negeri ini," katanya.

Projek berimpak tinggi itu bukan sahaja akan meningkatkan jaringan pengangkutan antara Pantai Timur dan Lembah Klang, malah dijangka mengukuhkan mobiliti rakyat serta memperluas peluang ekonomi di kawasan sekitar laluan rel.

Dengan kemajuan keseluruhan di Terengganu kini mencecah 93.55 peratus, ECRL dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2026, dan mula beroperasi pada Januari 2027.


Artikel Berkaitan