lightning-solid
Berita :
Lebih 8,000 Anak Ikan Lampam Sungai Dilepaskan di Sungai Keluang Besar
Lebih 8,000 Anak Ikan Lampam Sungai Dilepaskan di Sungai Keluang Besar
Hidayah Azlin
6 jam yang lepas
94


SETIU, 13 Ogos – Jabatan Perikanan Negeri Terengganu terus komited memelihara ekosistem dan memulihara sumber perikanan darat menerusi pelepasan lebih 8,000 ekor anak ikan lampam sungai di Sungai Keluang Besar, Kampung Bukit Tanah, Jabi, di sini pada Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, YB Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, program pengkayaan sumber itu bertujuan meningkatkan populasi ikan asli yang menjadi punca rezeki utama nelayan darat tempatan.

Beliau memberi amaran keras kepada masyarakat setempat agar tidak menggunakan kaedah tangkapan haram yang boleh memusnahkan biodiversiti sungai.

"Lebih 8,000 ekor anak lampam sungai kita lepaskan pagi ini. Jangan tuba! Jangan bom! Jangan karan!

"Biarkan anak-anak ikan ini membesar dan membiak secara semula jadi untuk pemuliharaan ekosistem sungai dan sumber rezeki nelayan darat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pelepasan Benih Ikan Asli Ke Perairan Umum di Sungai Keluang Besar, Kampung Bukit Tanah, di sini.

Turut hadir Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Anak Nyukang; Pegawai Daerah Besut, Ahmad Rizal Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Tanah, Mohd Shairi Othman; serta wakil jabatan dan kakitangan Pejabat Perikanan Negeri dan Daerah Besut.

Mengulas lanjut, Dr. Azman menzahirkan penghargaan kepada komuniti Kampung Bukit Tanah yang banyak membantu memastikan kelancaran program berkenaan.

Beliau berharap usaha pelepasan benih ikan seperti itu dapat meneruskan momentumnya secara berkala demi kelangsungan ekosistem perairan umum serta kesejahteraan sosioekonomi penduduk setempat pada masa hadapan.


Tag :

Artikel Berkaitan