lightning-solid
Berita :
FUTERA Advance Semai Jati Diri, Bentuk Kepimpinan Anak Muda
FUTERA Advance Semai Jati Diri, Bentuk Kepimpinan Anak Muda
Mastura Jamal Din
7 jam yang lepas
39

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Kerajaan negeri terus memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan berkualiti menerusi usaha melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berkemahiran, malah mempunyai jati diri, keyakinan dan kesediaan memikul tanggungjawab terhadap masyarakat serta negeri.

Usaha itu dizahirkan menerusi Future Terengganu Leader (FUTERA) Advance, program pembangunan kepimpinan anak muda di bawah Kerajaan Negeri Terengganu yang diselaraskan Akademi Kepimpinan Al-Fateh Terengganu.

Mengangkat slogan “Shaping Future Statesman”, program berkenaan dirangka sebagai platform pembentukan pemimpin masa depan melalui latihan kompetensi, pengalaman kepimpinan dan pendedahan kepada pelbagai aspek pembangunan diri sepanjang tempoh penyertaan selama setahun.

Pengarah Program FUTERA Advance,  Ahmad Furqan Ariffin berkata, pembangunan kepimpinan perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kemahiran memimpin.

Menurutnya, peserta perlu diberikan pendedahan kepada pelbagai aspek pembangunan diri supaya mereka bukan sahaja mempunyai ilmu, malah mampu berkomunikasi secara berkesan dan tampil yakin ketika berhadapan masyarakat serta pelbagai lapisan organisasi.

“Kita mahu peserta FUTERA Advance bukan sekadar menjadi peserta yang hadir ke latihan, tetapi menjadi individu yang membawa pulang ilmu dan pengalaman tersebut untuk diterjemahkan dalam kehidupan, organisasi dan komuniti masing-masing,” katanya.

Tambahnya, program tersebut mempersiapkan generasi baharu, pembangunan kompetensi sebegini penting kerana kepimpinan tidak hanya diukur melalui kebolehan bercakap, tetapi turut dinilai melalui cara seseorang membawa diri, membuat keputusan dan berinteraksi dengan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Kepimpinan Al-Fateh Terengganu Sdn. Bhd.,  Che Wan Mohd Faizul Che Wan Yusuf berkata, pembangunan anak muda merupakan pelaburan jangka panjang bagi memastikan negeri itu mempunyai barisan generasi yang bersedia memikul amanah pada masa depan.

Katanya, FUTERA Advance diharapkan mampu membentuk anak muda bukan sahaja dari aspek kompetensi, tetapi turut memperkukuh nilai, jati diri, keyakinan dan kesedaran terhadap tanggungjawab kepada masyarakat serta negeri.

“Harapan kita adalah agar setiap peserta yang melalui FUTERA Advance ini tidak berhenti setakat memperoleh ilmu untuk diri sendiri. Sebaliknya, ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dibawa kembali kepada komuniti dan memberi manfaat kepada orang di sekeliling mereka,” katanya.

FUTERA Advance, dengan aspirasi “Shaping Future Statesman”, dilihat mampu menjadi salah satu wadah penting dalam menyediakan generasi pemimpin muda Terengganu yang bersedia mengambil tempat apabila tiba masanya.


Tag :

Artikel Berkaitan