KUALA NERUS, 28 Oktober - Seramai 1,500 tenaga sukarelawan aktif Terengganu Volunteer (T-Volt) bersedia untuk digembleng terutama menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang akan tiba tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, angka itu diperoleh selepas proses pemutihan dilakukan oleh Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) bagi memastikan hanya ahli yang benar-benar aktif kekal dalam senarai.
"Cuma Sukarelawan T-Volt dia bukan buat operasi menyelamat. Biasa pasca banjir. Jadi kerja yang kita buat kebiasaannya adalah membantu membersihkan rumah mangsa banjir.
"Sebab menyelamat kita tidak mampu untuk memberikan pendedahan, operasi menyelamat ini sebab ia telah dilaksanakan oleh pihak agensi-agensi yang berkaitanlah (seperti bomba, dan polis).
"Jadi apa yang kita boleh buat adalah operasi selepas daripada banjir. Jadi yang ini memang rutin. Setiap tahun apabila ada bencana saja, selesai saja bencana kita akan mulakan gerakkan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Himpunan Belia Terengganu (HEBAT) 2.0 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, baru-baru ini.
Menurut Hishamuddin, T-Volt kini menjadi antara pasukan sukarelawan aktif di negeri itu dan sentiasa digerakkan dalam pelbagai misi sukarelawan yang tidak terhad hanya pada musim tengkujuh.
"Untuk program ini (Karnival HEBAT 2.0) juga ada anggota T-Volt yang terlibat seramai 100 orang. Kurang lebih macam itulah 100 orang, sebagai sukarelawan," ujarnya.
Jelasnya, keahlian T-Volt terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, pekerja sektor swasta, kakitangan kerajaan dan individu bekerja sendiri.
Menurutnya lagi, penyertaan ahli T-Volt dikendalikan secara fleksibel dan menggunakan pendekatan digital bagi memastikan gerak kerja dapat dijalankan dengan pantas apabila diperlukan.
"Setiap kali ada perkara yang kita perlukan perlibatan mereka, kita hanya ‘blast’ melalui WhatsApp saja. Mereka akan nyatakan hasrat (untuk menyertai misi)," katanya sambil menambah kelebihan ini membolehkan pelaksanaan bantuan dilakukan segera apabila berlaku bencana besar.
Sejak penubuhannya pada tahun 2019, T-Volt setiap tahun digerakkan bagi membantu mangsa banjir menerusi operasi pembersihan pasca bencana termasuk ke luar negeri seperti Pahang dan Johor.