KUALA TERENGGANU, 15 April - Lawatan kerja Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham ke daerah Setiu semalam ternyata menyuntik semangat, motivasi dan memperkukuh komitmen penjawat awam di daerah ini.
Pegawai Daerah Setiu, Yusaini Amir Mohamad Nor berkata, kunjungan tersebut adalah lawatan kerja yang keenam SUK ke daerah-daerah di Negeri Terengganu bersempena 100 hari pentadbiran beliau.
"Saya amat menyokong hasrat Dato’ SUK untuk turun padang ke daerah-daerah khususnya ke Setiu, bagi menyampaikan sendiri aspirasi dan hala tuju pentadbiran kepada penjawat awam.
"Kehadiran beliau secara langsung bukan sahaja memperkukuhkan penyampaian maklumat, malah mampu menyuntik semangat, meningkatkan motivasi serta mengeratkan hubungan antara kepimpinan tertinggi dan warga penjawat awam di peringkat daerah," ujarnya kepada pemberita selepas selesai lawatan kerja berkenaan.
Mengulas lanjut katanya, kunjungan SUK juga turut membantu meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
"Selain menjadi platform yang amat baik untuk pihak kami berkongsi pandangan, isu serta keperluan semasa di daerah Setiu secara terus dengan kepimpinan negeri," katanya.
Dalam pada itu katanya, memandangkan Setiu dikenali sebagai antara bandar paling bahagia, secara keseluruhannya tiada isu mendesak yang kritikal diutarakan kepada SUK untuk penyelesaian segera.
"Namun begitu, pihak kami tetap memberi penekanan kepada usaha berterusan dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, mengoptimumkan pengurusan sumber serta memastikan setiap perancangan pembangunan daerah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tersusun," jelasnya.
Tag :