‘Langit 2 Warna’ Buka Ruang Promosi Pelancongan Terengganu Ke Persada Antarabangsa
Ariss Alias
7 jam yang lepas
38
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Cadangan menjadikan Terengganu sebagai antara lokasi utama penggambaran filem “Langit 2 Warna” dilihat mampu membuka ruang lebih luas bagi mempromosikan keunikan pelancongan, budaya dan warisan negeri ke persada antarabangsa.
Cadangan kerjasama strategik itu dikemukakan Rumah Karya Citra Sdn Bhd menerusi kunjung hormat dan pembentangan kepada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, yang disampaikan penerbit dan pengarahnya Erma Fatima bersama Creative Director Izwan Mokhtar.

“Filem ini bakal mengangkat keindahan alam, budaya, warisan Melayu-Islam serta nilai spiritual Terengganu, selari dengan elemen Islamic Tourism yang turut diketengahkan melalui jalan cerita dan pemilihan lokasi penggambaran,” katanya.
Beliau berkata pemilihan Terengganu sebagai antara lokasi utama berpotensi menjadi medium berkesan untuk memperkenalkan destinasi, budaya dan warisan negeri kepada khalayak lebih luas, khususnya di peringkat antarabangsa.

Kerjasama itu berpotensi memperkukuh promosi Islamic Tourism serta mengetengahkan kluster pelancongan Terengganu menerusi medium perfileman, sekali gus memberi nilai tambah kepada usaha memperkenalkan identiti dan khazanah negeri.
Inisiatif berkenaan turut dilihat selari dengan usaha mempergiat promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Terengganu 2027, selain berpotensi mewujudkan limpahan manfaat kepada industri kreatif dan sektor pelancongan tempatan.