Jalur Gemilang
Berita :
Laluan BAS.MY Wajar Dilanjutkan Hingga Ke Kampung Mangkuk
Laluan BAS.MY Wajar Dilanjutkan Hingga Ke Kampung Mangkuk
Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar
3 jam yang lepas
99

KUALA LUMPUR, 18 November -  Perkhidmatan bas henti-henti BAS.MY yang kini beroperasi dari Kuala Terengganu hingga ke Kampung Merang wajar dilanjutkan laluannya sehingga ke Kampung Mangkuk, Setiu, bagi memenuhi keperluan penduduk setempat serta menyokong sektor pelancongan negeri.

Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi peringkat jawatankuasa Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, baru baru ini.

Menurut beliau, pelanjutan laluan tersebut amat mendesak memandangkan Kampung Mangkuk dan Kampung Penarik merupakan antara destinasi pelancongan utama di negeri itu. Justeru, ketersediaan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh diyakini mampu memudahkan pergerakan pelancong ke kawasan pesisir pantai tersebut menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.

"Selain faktor pelancongan, laluan baharu itu juga penting bagi memudahkan akses penduduk setempat ke Klinik Kesihatan Rhu 10 yang kini telah mencapai tahap kemajuan pembinaan sebanyak 90 peratus dan dijangka beroperasi tidak lama lagi," ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut membangkitkan isu kesukaran pengangkutan yang dihadapi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penarik berikutan syarikat bas sekolah sedia ada tidak lagi dibenarkan beroperasi. 

"Keadaan ini menjejaskan pelajar dari lapan buah kampung iaitu Kampung Merang, Kampung Rhu Tapai, Kampung Setia Jaya, Kampung Gong Tengah, Kampung Telaga Papan, Kampung Keranji, Kampung Bari Besar, dan Kampung Bari Kecil, sehingga didakwa menjadi punca peningkatan kes ponteng sekolah," jelasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak Kementerian Pengangkutan dapat mempertimbangkan cadangan pelanjutan laluan BAS.MY tersebut demi kelancaran mobiliti masyarakat luar bandar serta kebajikan pelajar di daerah Setiu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan