KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Kejayaan Terengganu mengekalkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) selama tujuh tahun berturut-turut membuktikan kecemerlangan pendidikan negeri itu bukan lagi bersifat bermusim, sebaliknya hasil budaya pendidikan yang konsisten dan berterusan.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri itu mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.18 bagi STPM 2025, mengatasi Purata Nasional 2.88.
Menurut beliau, pencapaian itu turut disokong oleh peningkatan jumlah calon yang memperoleh keputusan semua A penuh (PNGK 4.00) apabila seramai 112 calon berjaya mencapai keputusan tersebut berbanding 110 calon pada tahun lalu.
“Pencapaian ini mencerminkan kesungguhan, disiplin dan iltizam tinggi anak-anak Terengganu dalam menuntut ilmu serta mengejar kecemerlangan,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para guru, pentadbir sekolah, ibu bapa, penjaga dan seluruh warga pendidikan yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan tersebut.
Katanya, setiap usaha, doa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh semua pihak telah membuahkan hasil yang membanggakan serta menjadi asas kepada pembentukan generasi berilmu dan berdaya saing.
Ahmad Samsuri menambah, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan kepada usaha memperkasa pendidikan bagi melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing demi masa depan Terengganu yang lebih gemilang.
“Teruslah melakar kecemerlangan serta menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.
Tag :