lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Miskin Tegar di Terengganu Turun Kepada 1,193 Keluarga
Miskin Tegar di Terengganu Turun Kepada 1,193 Keluarga
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kadar kemiskinan tegar di Terengganu mencatatkan penurunan kepada 1,193 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan dalam sistem e-Kasih setakat 1 Julai lepas, berbanding 6,632 pada tahun lepas. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata penurunan angka berkenaan merupakan hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui pelbagai agensi. “Besut mencatatkan jumlah miskin tegar tertinggi iaitu seramai 229 KIR diikuti Kuala Terengganu (212), Kemaman (164), Kuala Nerus (132), Setiu (123), Dungun (115), Hulu Terengganu (111) dan Marang (107). “Senarai Miskin Tegar yang dikunci pada 31 Januari 2023 sebanyak 6,632 telah berjaya disifarkan dari status miskin tegar melalui penyaluran bantuan dengan kerjasama dari agensi pemberi bantuan,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Selain itu, Maliaman berkata tindakan pengemaskinian maklumat pendapatan juga memainkan peranan penting dalam kejayaan itu.
29 Jul 24
484
RM700 Ribu Atasi Masalah Banjir Jangka Pendek di Rantau Abang
RM700 Ribu Atasi Masalah Banjir Jangka Pendek di Rantau Abang
KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran negeri telah melaksanakan pelan penyelesaian jangka pendek masalah banjir bagi menangani isu itu di  kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang bagi  tahun 2024. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata ia merupakan langkah awal kerajaan negeri apabila ketiga-tiga permohonan projek tebatan banjir yang dipohon dalam 'Rolling Plan' Rancangan Malaysia namun sehingga kini masih belum diluluskan. Katanya, program-program penyelengaraan secara berkala infrastruktur sistem saliran dengan  lima kerja secara sebutharga dengan kos RM700,000.00 sedang dilaksanakan melalui Peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi Tahun 2024 bagi Kawasan sekitar Rantau Abang. “Kerja-kerja pemuliharaan sistem saliran utama serta kerja kerja berkaitan di Kampung Alor Mak Bah,Dungun melibatkan kos RM50,000 “Seterusnya, kerja-kerja pemuliharaan sistem saliran dan hakisan tebing akibat kerosakan pasca banjir serta kerja kerja berkaitan di Kg. Paya Jara, Kuala Abang dengan kos RM400,000 dan kerja kerja pemuliharaan hakisan tebing akibat kerosakan pasca banjir serta kerja kerja berkaitan di Kg. Tanjung Jara, Dungun, sebanyak RM150,000.  “Manakala kerja kerja pemuliharaan sistem saliran untuk mengurangkan risiko banjir serta kerja kerja berkaitan Di Kg Tok Kah, Dungun sebanyak RM50,000 dan kerja kerja pemuliharaan struktur tebing dan pagar jps akibat kerosakan pasca banjir serta kerja kerja berkaitan Di Kg. Teluk Bidara, Dungun (RM50,000),” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Zulkifli pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Mohd Fadhli mengemukan soalan bilakah kerajaan negeri akan melaksanakan projek tebatan banjir di Kawasan DUN Rantau Abang yang selalu terkesan dengan banjir terutama bila tiba musim tengkujuh. Tambah Hanafiah lagi, itu tidak termasuk jumlah peruntukan melibatkan senarai kerja yang dipohon melalui peruntukan kerajaan negeri (P02) bagi tahun 2025 bagi kawasan sekitar Rantau Abang.
29 Jul 24
164
Royalti Hak Rakyat Terengganu Berdasar Akta Kemajuan Petroleum 1974 - MB
Royalti Hak Rakyat Terengganu Berdasar Akta Kemajuan Petroleum 1974 - MB
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan Terengganu bertegas untuk terus menuntut royalti petroleum hak rakyat dan negeri Terengganu sebagaimana termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri kekal berpegang teguh dengan akta tersebut dan perjanjian-perjanjian yang berkaitan. "Kita menuntut hak rakyat Terengganu ini dengan berbagai-bagai cara yang akan dibuat, sepertimana simpulan bahasa menyebut 'lalu penjahit, lalu kelindan'. "Usaha-usaha ini akan dilakukan secara bersama dengan seluruh rakyat negeri Terengganu dan rakyat Malaysia nanti, insya-Allah," katanya  bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili mengenai tindakan lanjut yang akan dilakukan bagi memastikan tuntutan royalti dapat diterima, pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata hasil perundingan berkali-kali dengan kerajaan Persekutuan, setakat Julai 2024 kerajaan negeri berjaya mendapatkan kelulusan royalti berjumlah RM792.32 juta berbanding anggaran hak sebenar RM1.54 bilion. Namun katanya, sehingga hari ini hanya RM425.17 juta telah direkodkan sebagai terimaan dalam akaun kerajaan negeri. "Baki RM367.15 juta royalti petroleum (daripada kelulusan) setakat Julai tahun tidak diterima," katanya. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri turut menjelaskan jumlah yang patut diterima oleh kerajaan negeri pada tahun 2023 ialah sebanyak RM1.524 bilion namun hanya menerima sejumlah RM802.18 juta sahaja sepanjang tahun lalu.  
29 Jul 24
983
Terengganu Teroka Sumber Baharu Hadapi Sekatan Royalti
Terengganu Teroka Sumber Baharu Hadapi Sekatan Royalti
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan Negeri telah mengatur langkah bagi menghadapi sekatan royalti petroleum dengan mengukuhkan kewangan negeri melalui pengawalan perbelanjaan, mengoptimumkan perolehan hasil sumber sedia ada serta mengeksplorasi dan mengeksploitasi sumber baharu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam berhadapan dengan sekatan royalti ketika ini, semua agensi dan jabatan negeri diminta mempertimbangkan semula keperluan, kebolehlaksanaan dan keutamaan setiap program atau projek yang dirancang. “Selain meleveraj inisiatif dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, meneroka sumber dan usaha sama dengan pihak bukan kerajaan serta merintis ‘community/bottom-up initiative’. “Pada masa yang sama, semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Terengganu perlu mengurangkan kebergantungan pada kerajaan negeri dalam melaksanakan aktiviti perniagaan mereka. “GLC perlu berusaha dengan lebih gigih melaksanakan aktiviti perniagaan supaya hasil keuntungan perniagaan lebih besar dan dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab sosial dan ekonomi kepada rakyat,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini. Ahmad Shah mengemukakan soalan mengenai bagaimana Kerajaan Negeri mengatur segala urusan pentadbiran dan pembangunan yang dirancang dengan kekangan kewangan akibat daripada pembayaran royalti atau wang ihsan yang tidak dibayar kepada Kerajaan Negeri seperti yang sepatutnya. Jelas Ahmad Samsuri lagi, usaha mengksplorasi dan mengeksploitasi sumber baharu tertumpu kepada industri unsur nadir bumi (REE) dan tenaga boleh diperbaharui (renewble energy). "Hasil cukai dan bukan cukai pula mesti ditingkatkan sekurang-kurangnya 10 peratus setahun," tambahnya.  
29 Jul 24
2823
ADUN Ladang Saran Kerajaan Laksana Pelan Kontingensi Banjir
ADUN Ladang Saran Kerajaan Laksana Pelan Kontingensi Banjir
KUALA TERENGGANU, 29 April - Kerajaan Terengganu perlu menyediakan Rancangan Sokongan (Backup Plan) sebelum Pelan Kontingensi Banjir dilaksanakan di daerah ini, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang bagi mengatasi masalah banjir kilat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mencadangkan agar agensi-agensi dan pihak-pihak yang berkaitan mengadakan rancangan sokongan itu bagi membantu mengurangkan kesulitan rakyat ketika menghadapi bencana tersebut. Ini kerana katanya Pelan Mitigasi Banjir (Flood Mitigation Plan) bertujuan mengatasi masalah  banjir kilat di kawasan tersebut bagaimanapun  pelan itu masih dalam perancangan pelaksanaan kerajaan. "Seperti mana yang kita tahu dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuala Terengganu 2030 dan 2035 (Pengubahan 1) sudah ada perancangan mitigasi banjir bagi menangani banjir kilat sekitar Kuala Terengganu. "Tetapi memandangkan pelan ini masih dalam perancangan dan tempoh masa pelaksanaan pelan tersebut yang agak lama, kita seharusnya mengambil satu langkah proaktif dengan menyediakan rancangan sokongan atau ‘backup plan’ yang mampu mengurangkan beban kepada rakyat yang terpaksa menghadapi banjir kilat ini hampir saban tahun," katanya ketika membahas Usul Menjujung Kasih Titah Ucapan Diraja di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini baru-baru ini. Beliau berkata bencana banjir kilat berlaku di DUN Ladang sebelum ini berlaku sebanyak dua kali dalam tempoh masa terlalu hampir iaitu pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini. "Jumlah taburan hujan yang agak tinggi telah menyebabkan banjir kilat di kawasan-kawasan perumahan sekitar Jalan Sultan Omar dan Jalan Kamaruddin. "Bencana banjir kilat ini bukan sahaja memberi kesan emosi kepada rakyat tetapi juga melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada semua pihak, rakyat dan juga kerajaan," ujarnya. Untuk rekod, kira-kira lebih 450 keluarga terlibat dengan bencana banjir itu termasuk mereka yang tinggal berdekatan dengan perparitan menghala ke arah Sungai Ibai.
29 Apr 24
213
JPINT Buka Jalan Pelajar Sekolah Agama Negeri Sambung Pengajian di Luar
JPINT Buka Jalan Pelajar Sekolah Agama Negeri Sambung Pengajian di Luar
KUALA TERENGGANU, 29 April - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah  membuka laluan kepada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu bagi melanjutkan pengajian ke luar negara misalnya Algeria, UAE, Tunisia dan Jordan. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, ini termasuk pelajar lepasan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) juga berpeluang menyambung pengajian ke Jordan dalam bidang Usuluddin dan juga Perbankan Islam selain ke Mesir dalam bidang Ulum Islamiyyah. Katanya, murid lepasan SMIDI berpotensi menyambung pengajian peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) selama satu tahun pengajian seterusnya mendapatkan tempat di Kuliah, Al-Azhar dan Markaz Lughah di Mesir dan juga boleh mengambil Ijazah dalam bidang pengajian Islam serta Bahasa Arab. "Bagi pelajar lepasan Pusat Tafaquf Fi-Din pula diberi peluang menyambung pengajian bidang Turath di Al-Azhar As Syarif serta menyambung pengajian Kursus Intensif Bahasa Arab selama dua tahun di Maahad Al-Azhar di bawah kelolaan Markaz Tatwir Al-Azhar. "Selain itu, pelajar lepasan Pusat Tafaquf Fi-Din juga berpeluang menyambung pengajian di Maahad Bu'uth Al- Azhar serta mengikuti pengajian secara bertalaqqi dengan tenaga pengajar yang dilantik terus oleh JPINT di Mesir selama dua tahun," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Ridzuan Hashim (PAS- Buluh Gading) yang ingin tahu apakah peluang pendidikan dan kerjaya bagi lepasan pelajar SMIDI, Kolej Al-Quran Terengganu dan Pusat Tafaqquh Fi Din dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini. Tambahnya, pihak JPINT juga telah mengambil tindakan dengan memohon MQA bagi usaha pengiktirafan pensijilan Pusat Tafaquf Fi-Din Tok Sheikh Duyong. "JPINT juga berkolaborasidengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi peluang pengajian di bidang Turath yang dikendalikan oleh UPSI," katanya lagi. Sementara itu, bagi lepasan pelajar Kolej Al-Quran Terengganu (KQT), mereka berpeluang menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam dan swasta dalam negara seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), UniversitiSultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan lain-lain. "Ini termasuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti luar negara seperti The Wolrd Islamic Sciences Education University (WISE) Jordan dan Universiti Islam Madinah.  "Antara peluang kerjaya yang ditawarkan jawatan di sektor kerajaan dan swasta sebagai guru harian di sekolah agama swasta dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Negeri Gred N29," ujarnya.   
29 Apr 24
433
Tiada UPSR, Pelajar Tak Minat Belajar
Tiada UPSR, Pelajar Tak Minat Belajar
KUALA TERENGGANU, 28 April - Ketiadaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah mengakibatkan kurangnya minat pelajar dalam memahami dan menyerap ilmu dalam subjek-subjek akademik.  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia memansuhkan UPSR mulai tahun 2021 telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pelajar dan ibu bapa. "Kita pernah bangkitkan dalam mesyuarat peringkat Menteri Pendidikan dan ini persoalan yang dibangkitkan oleh semua negeri. "Bila berlaku tidak ada peperiksaan pelajar tidak mengambil cakna dalam memberi kekuasan dalam mata pelajaran yang sedia ada. Kita nak melihat sejauh mana pelajar menguasai mata pelajaran yang kita tawarkan," jelasnya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Menurutnya, tahun 2024 merupakan tahun pertama diadakan UPSRi di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI). "Tahun ini tahun pertama kita bermula UPSRi untuk melihat prestasi pelajar. "Kita buat saringan untuk sambung pengajian peringkat Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI). "Tapi setakat ini kita lihat menjadi kesukaran (apabila UPSR dimansuhkan) dalam pemilihan pelajar untuk masuk IMTIAZ ataupun sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri dan mereka telah melihat keputusan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK)," ujarnya. Beliau menambah, di Terengganu setakat ini, pelajar dalam beberapa ujian peperiksaan seperti SPM, STAM, dan sebagainya telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan keseluruhannya, di mana pencapaian negeri setiap tahun mengatasi di peringkat kebangsaan. "Berusaha untuk mencapai pencapaian keseluruhan bagi meningkatkan pencapaian dari peratus lulus ataupun layak memiliki sijil serta cuba untuk meminimakan peratus kegagalan.  "Itulah yang menjadi hasrat kita supaya mencapai 100 peratus lulus semuanya  "Apapun kita juga mengambil kira dan berusaha untuk mencapai  peratus ataupun gred purata yang lebih baik daripada satu tahun ke satu tahun dan contohnya dalam pencapaian SPM bermula 2018 sehingga 2023," katanya. Untuk rekod jelas beliau, pada tahun 2018 gred purata bagi negeri adalah 4.90, 4.69 (2019), 4.55 (2020), 4.72 (2021) dan 4.59 (2022). "Gred purata yang menunjukkan prestasi keseluruhan semakin baik dan kita mengunjurkan pencapaian SPM 2023 lebih baik berbanding tahun 2022. "Begitu juga pencapaian STPM yang kita melihat nilaian ndk semakin baik. Pada 2018, 2.99, 2019, 3.02, 2020, 3.03, 2021, 3.03 dan 2022, 3.04," katanya. "Kita melihat Terengganu muncul satu-satu negeri yang mencapai PNGK 3.0 ke atas sejak tahun 2019," katanya.  
28 Apr 24
389
Kaedah Bayaran Royalti Pelik Bebankan Kerajaan, Penjawat Awam
Kaedah Bayaran Royalti Pelik Bebankan Kerajaan, Penjawat Awam
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Terengganu menyifatkan kaedah baharu pembayaran royalti petroleum yang ada ketika ini sebagai pelik, menyusahkan negeri dan membebankan penjawat awam di Putrajaya.  Mengambil satu contoh, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembayaran berpilih (selective payment) kepada projek pembangunan atau perkhidmatan ini dibayar terus oleh Kerajaan Pusat kepada kontraktor di Negeri walaupun surat setuju terima dan dokumen kontrak adalah antara Kerajaan Negeri dan Kontraktor. "Tetapi kami akur, kerana itulah pada ketika ini yang boleh menyelesaikan urusan pembayaran-pembayaran yang ada dinyatakan dalam Belanjawan Negeri. "Kita juga sedar bahawa pelaksanaan kaedah sebegini hanya memberi bebanan kerja baharu kepada pihak Putrajaya dan Negeri, sedangkan semua tahu bahawa akaun kewangan Negeri akan tetap diaudit secara telus oleh jabatan berkaitan. "Ini dibuktikan dengan dapatan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang menjalankan kajian, mereka mengesahkan Terengganu sebagai kerajaan paling telus membentangkan belanjawan atau pengurusan kewangan berbanding negeri lain di Malaysia, di mana ketelusan tersebut adalah dinilai menerusi ‘Malaysia Open Budget Index’ (MyOBI)," tegas beliau. Ahmad Samsuri berkata demikian dalam ucapan penggulungan Titah Ucapan Perasmian Ke Bawah Duli Sultan Mizan Zainal Abidin di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke 15 di sini hari ini. Menurut beliau, di sebalik bayaran secara pelik itu Kerajaan Persekutuan masih berhutang royalti petroleum dengan Terengganu sekurang-kurangnya RM700 juta untuk hasil 2023. "Kerajaan Persekutuan telah membayar sejumlah RM802.2 juta daripada anggaran asal Kerajaan Negeri sebanyak RM1.52 bilion sebagai terimaan Kerajaan Negeri bagi tahun lalu. "Daripada jumlah bayaran tersebut sebanyak RM651 juta adalah untuk emolumen, manakala RM109 juta adalah untuk 'deffered dan scheduled payment' (DSP), manakala RM42.1 juta pula adalah bayaran balik hutang Kerajaan Persekutuan," jelasnya. Katanya lagi, untuk tahun 2024 Kerajaan Negeri menerima bayaran sebanyak RM301.7 juta berbanding anggaran terimaan sebanyak RM762 juta sebagai pemberian pertama tahun ini. "Ini bererti bayaran tersebut masih kekurangan sebanyak RM461 juta, sehingga pemberian yang kedua pada bulan September nanti," jelasnya lagi. Tambah Naib Presiden PAS itu, keadaan tersebut menimbulkan gangguan kewangan kepada Kerajaan Negeri secara mengejut kerana hasil petroleum ini adalah hak negeri yang diterima sejak sekian lama dan perancangan telah dibuat.  
25 Apr 24
10714
Kerajaan Persekutuan Peralat Akta Laut Nafi Royalti Petroleum
Kerajaan Persekutuan Peralat Akta Laut Nafi Royalti Petroleum
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Persekutuan dilihat telah memperalatkan Akta Laut Wilayah 2012 untuk menafikan pembayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia menjadi antara sebab Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bersidang hari ini meluluskan usul menolak akta tersebut. Jelasnya, akta berkenaan juga tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.  "Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.  "Sementara itu, Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.  Menurut beliau, tindakan Kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya telah merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya.  "Ini menafikan hak negeri untuk menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari garis air surut wilayah Terengganu. "Kerajaan Negeri merumuskan, penggubalan Akta ini adalah tidak mengikut perlembagaan dan telah memberikan beberapa implikasi negatif seperti menafikan hak negeri untuk meneroka sumber dan menikmati hasil di dalam kawasan wilayah negeri tersebut serta menyebabkan berlaku percanggahan dan konflik dengan akta-akta lain," ujar beliau.  Justeru tegas Ahmad Samsuri, Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012. Untuk rekod, negeri pengeluar minyak iaitu Sabah dan Kelantan turut menolak akta ini.
25 Apr 24
2386
Sidang DUN Terengganu Sebulat Suara Tolak Akta Laut
Sidang DUN Terengganu Sebulat Suara Tolak Akta Laut
KUALA TERENGGANU, 25 April - Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini telah menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang telah diluluskan pada tahun 2012 (Akta 750) atas asas mendapati Kerajaan Persekutuan mengambil peluang menafikan bayaran tunai petroleum Terengganu. Usul penolakan terhadap akta dengan menghadkan sempadan setiap perairan negeri kepada tiga batu nautika tersebut dikemukakan oleh Nurkhuzaini Ab Rahman (PAS - Kota Putera) mendapat sokongan semua ahli dewan setelah dibahas oleh empat ahli dewan. "Saya buka usul untuk disokong dan dipersetujukan. Maka dengan ini usul tersebut diluluskan,” kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah. Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili  yang  membahaskan usul berkenaan berkata,  Akta 750 tidak boleh berkuatkuasa di mana-mana negeri di Malaysia dan Kerajaan Persekutuan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil alih pemilikan pelantar benua dan wilayah perairan setiap negeri tanpa persetujuan mereka. “Ini kerana, ketika pembentangan Akta 750, Malaysia bukan lagi terikat di bawah Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu No.7 1969 dan tidak berada dalam keadaan darurat. “Kita boleh rumuskan bahawa sebelum rang undang-undang seperti Akta 750 dapat dibentangkan dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara, kelulusan setiap negeri hendaklah diperolehi terlebih dahulu,” ujarnya. Bagi ADUN Permaisuri, Mohd Yusop Majid yang turut sama membahaskan usul tersebut berkata akta itu adalah merupakan satu jawapan bersifat politik yang mengelirukan dan tersasar daripada fakta undang-undang dan sejarah. "Isu royalti hasil petroleum ini sentiasa dimainkan mengikut musim dan ianya gagal dinokhtahkan secara jelas dan muktamad oleh Kerajaan Persekutuan. Maksud bermusim di sini ialah sekiranya kerajaan negeri diperintah oleh parti pembangkang, yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, lalu diambil tindakan menafikan pembayaran secara berjadual menurut Perjanjian 22hb Mac 1975 antara Petronas dan Kerajaan Terengganu.  “Oleh itu kita berpendapat bahawa perlu ada kesimbangan kuasa antara persekutuan dan negeri yang melibatkan persempadanan laut wilayah . Kerajaan Persekutuan tidak boleh dilihat terlalu tamak dalam menanda persempadanan laut wilayah negeri-negeri yang akhirnya segala hasil kekayaan sesebuah negeri disakau oleh Kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan negeri hanya diberi hasil atas dasar belas ihsan semata-mata seumpama kerajaan negeri terpaksa melukut di tepi gantang, ujarnya. Tambahnya, sesebuah negeri memerlukan 200 batu nautika atau lebih bagi tujuan kegiatan ekonominya sebagaimana pandangan Tun Salleh Abbas berkenaan Akta Pelanta Benua 1966. Sementara itu, dua lagi pembahas usul yang terdiri daripada ADUN Bukit Tunggal, Zaharuddin Zahid dan ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat juga bersependapat Akta 750  bertentangan dengan Perkara (2) Perlembagaan Persekutuan dimana menyebut Parlimen boleh melalui Undang-Undang (b) mengubah sempadan mana-mana negeri tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat Badan Perundangan Negeri itu dan Majlis Raja-Raja.  
25 Apr 24
1295