Artikel "Pelancongan" Terkini
Tasik Biru Kemaman Berpotensi Jadi Lokasi Pelancongan
KEMAMAN, 31 Oktober - Tasik biru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih yang merupakan tapak tinggalan bekas lombong dilihat berpotensi diangkat sebagai tempat tarikan pelancongan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, melalui perbincangan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, tasik tersebut dijangka bakal dinaik taraf menjadi trek riadah yang mengelilingi tasik berkenaan.
Menurutnya, satu lawatan penting telah diadakan di beberapa lokasi strategik dalam DUN Air Putih bagi usaha memajukan potensi pelancongan di sini.
"Lawatan yang bermula pada jam 10.00 pagi itu dimulakan dengan rombongan ke Bukit Mentok Hiking Park yang menjadi tumpuan orang awam untuk mendaki kerana kawasannya yang terpelihara.
"Beberapa cadangan turut dilontarkan supaya diadakan aktiviti memancing setelah melihat persekitaran keadaan sungai yang mampu menarik minat pelancong," katanya ketika lawatan semalam.
Tambah Hafiz, pada lawatan berkenaan turut diadakan kunjungan ke Rumah Jambi yang terletak di Pasir Gajah, Kemaman.
"Rumah unik ini yang mengetengahkan unsur tradisi binaan Jambi, Sumatera dan menjadi salah satu tinggalan sejarah yang berharga di sini.
"Seterusnya, rombongan bergerak ke Turtle Conservation Society Of Malaysia yang terletak di Dewan Orang Ramai, Pasir Gajah bagi melihat persekitaran, menilai keadaan tempat pemuliharaan dan pembiakan spesis tuntung," katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut berkata, pihaknya juga berkesempatan untuk melawat MD Agro di Kampung Batu 16 dan mengadakan sedikit perbincangan mengenai hala tuju dan potensi yang boleh memajukan sektor pelancongan dan kebudayaan.
"Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan tempatan dalam memajukan potensi pelancongan di Dun Air Putih.
"Sekali gus, memperkenalkan destinasi menarik kepada pelancong tempatan dan luar negeri.
"Diharapkan usaha ini akan membawa manfaat besar kepada kawasan tersebut serta mengukuhkan ekonomi tempatan," ujarnya.
31 Oct 23
1200
Setiu Jamboree MTB Challenge 2023 Tawar Hadiah RM25,000
Setiu, 31 Oktober -Jamboree Mountain Bike (MTB) Challenge 2023 tahun yang bakal berlangsung di Lata Payung, Setiu, di sini pada 18 dan 19 November 2023 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM 25,000.
Penolong Kanan Pegawai Daerah Setiu Yang Mulia (YM) Raja Faisal Raja Haron berkata kejohanan tersebut menyaksikan 12 kategori keseluruhan dipertandingkan.
"Untuk lelaki, kita ada kategori Men Junior (18 tahun kebawah), Men Master (19 -29 tahun), Men Senior (30-39 Tahun), Men Veteran (40- 49 tahun), Men Otai (50 tahun keatas), Men Open (Terbuka).
"Kategori wanita pula melibatkan
Women Senior (35 tahun keatas) dan Women Open (Terbuka).
Tambahan kita juga ada kategori Heaveyweight 90 KG (Terbuka), Fat Bike (Terbuka), E-MTB (Terbuka) dan Kakitangan Kerajaan Terengganu (Terbuka)," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, kejohanan edisi sulong di Setiu ini menyasarkan 1000 penyertaan dan setakat ini lebih 700 peserta telah mengesahkan kehadiran dan ada peserta daripada Singapura dan Thailand.
Raja Faisal berkata kayak kayuhan sejauh 30 kilometer melalui jalan hutan, denai dan sungai akan memberi lebih cabaran kepada pelumba.
Pemdaftaran masih dibuka kepada orang ramai dan peserta yang berminat boleh hubungi talian 013-9606953 (Din Nejar) dan 019-2532483 (Yusrizal).
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap Azmi Maarof berkata melalui penganjuran sukan tersebut dapat mempromosikan tempat perkelahan itu di mata dunia.
"Dengan adanya penganjuran berkaitan sukan di Setiu dan di DUN Langkap secara khususnya bilangan pelancong akan meningkat, seterusnya akan menambah pendapatan penduduk setempat melalui sewaan 'homestay' dan perniagaan lain," katanya.
31 Oct 23
369
Terengganu Bakal Perkenal Permit Khas Selam Skuba di Lokasi Kapal Karam
MARANG, 24 Oktober - Kerajaan negeri akan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pengenalan permit khas bagi aktiviti selaman skuba di lokasi kapal karam di Pulau Kapas yang akan dikuatkuasakan mulai tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata, pengenalan SOP ini bukan untuk menyusahkan pelancong, tetapi bagi menjaga kepentingan artifak dalam laut di Terengganu.
"Kita nak buat permit bagi memastikan artifak dan tinggalan di kapal tersebut dijaga rapi dan menghalang aktifak berharga daripada dicuri.
"SOP dibuat ini sama seperti mana dijalankan di tapak kapal karam 'The Bidong Shipwreck' di Pulau Bidong di mana nak pergi ke kawasan tersebut kena ada permit khas.
"Namun kerajaan tidak mahu terlibat dalam urusan mengenai caj sebaliknya menyerahkan urusan mengenai caj tersebut kepada pihak yang mengendalikan selam skuba," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak kapal karam di perairan Pulau Kapas, di sini, semalam.
Razali berkata kapal karam tersebut merupakan satu khazanah yang cukup berharga dan salah satu aset pelancongan negeri dalam pakej aktiviti selam skuba arkeologi.
"Berdasarkan cerita daripada penduduk tempatan, kapal yang dipercayai milik tentera Jepun diserang dan dibom menyebabkan ia terbakar dan karam pada Perang Dunia Kedua... kini berada pada kedalaman 40 meter di dasar laut.
"Malah sebahagian artifak berharga di dalam kapal karam terbabit sudah hilang dipercayai dicuri sejak puluhan tahun lalu tanpa sebarang tindakan dari mana-mana pihak,"katanya.
Justeru itu, beliau berhasrat membawa keluar sebahagian aktifak dari kapal karam itu yang mempunyai nilai tinggi dan perlu dijaga sebaik mungkin di Galeri Arkeologi Maritim Terengganu yang bakal dibuka tahun hadapan bagi menjamin kelestariannya.
Tambahnya, lokasi cadangan galeri setakat ini di Taman Tamadun Islam (TTI) kerana kedudukannya strategik dan ia juga antara lokasi pelancongan utama di negeri ini.
24 Oct 23
222
Promosi Kenyir Geopark Lokasi Wajib Dikunjungi
HULU TERENGGANU, 12 Oktober - Setiap individu dan pemain industri perlu memainkan peranan untuk menjadikan Kenyir Geopark sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi para pelancong dalam usaha merancakkan pelancongan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata dengan penglibatan dan bantuan daripada pihak swasta kerajaan amat yakin bahawa sasaran ditetapkan iaitu 1 juta pelancong ke Kenyir Geopark akan dapat dicapai dengan mudah.
"Sebagai contoh jika kita melancong ke negara China, akan ada tempat yang wajib dilawati dalam senarai seperti Tembok Besar...jadi kenapa kita tidak laksanakannya di Terengganu juga.
"Ini antara perkara yang akan saya bincangkan dengan pemain industri di Terengganu supaya masukkan Kenyir Geopark ke dalam senarai tempat menarik yang wajib dikunjungi jika datang ke negeri ini,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Jom Kenali Geopark di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Che Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail.
Razali turut berkata, apabila pengunjung bertambah, ia akan secara tidak langsung menjana ekonomi penduduk sekitar termasuk pengusaha rumah bot dan restoran.
Tambahnya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan universiti-universiti yang pakar dalam bidang Arkeologi khususnya selain mendidik masyarakat setempat tentang nilai geopark tersebut.
Dalam masa sama, beliau turut menyarankan para penggiat media sosial menggunakan platform media sosial dalam mempromosikan produk-produk pelancongan tempatan bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini.
Katanya, pada masa kini media sosial merupakan medium utama dalam menyebarluaskan maklumat secara pantas ke seluruh dunia yang sewajarnya digunakan untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan.
"Selain media arus perdana yang memainkan peranan penting, kita juga memerlukan media sosial kerana secara tidak langsung akan membawa lebih ramai pelancong apabila mereka tertarik dengan posting-posting yang dimuatnaik," ujarnya.
12 Oct 23
1826
Bikini : ‘Saya Sebut Jangan Pakai Sut Renang Di Tempat Terbuka’
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Exco Kerajaan Negeri, Datuk Razali Idris menafikan beliau memberikan kebebasan kepada pelancong terutamanya bukan Islam untuk berbikini di mana-mana lokasi pelancongan sebagaimana dilapor sebuah portal berita.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri itu menegaskan, kenyataan asalnya telah diputar belit pihak tertentu bagi membina persepsi negatif terhadap Terengganu.
“Saya hanya sebut jangan memakai sut renang di kawasan terbuka seperti Pasar Kedai Payang, saya tak sebut selain itu.
“Di tempat lain pelancong bukan Islam juga perlu memakai pakaian yang bersesuaian dengan adab dan budaya Terengganu, tidak melampaui batas,” katanya selepas menghadiri walkabout Kampung Cina bertempat di Pintu Gerbang Kampung Cina di sini semalam.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkenaan, penyebaran berita itu tidak melemahkan semangatnya untuk menarik seramai mungkin pelancong Terengganu.
Justeru itu ujarnya, pihaknya tidak mampu menghalang mana-mana individu untuk membina persepsi buruk kepada kerajaan negeri.
“Sebolehnya kita tak mahu ada krisis dengan sesiapa, kita ada cara tersendiri dalam membangunkan negeri.
“Pihak kerajaan memang sudah menduga pasti akan ada berita-berita tidak betul seperti itu, namun kita fokus dengan perancangan yang telah digariskan,” jelasnya.
Sebelum ini, Razali berkata, pelancong bukan Islam tidak perlu merasa bimbang untuk berkunjung ke Terengganu kerana golongan terbabit tidak terikat dengan etika pemakaian dalam garis pelancongan negeri.
Menurutnya, Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan hanya dikuatkuasakan kepada individu beragama islam.
"Walau bagaimanapun katanya, pelancong bukan islam masih perlu menghormati budaya dan adab masyarakat Melayu Islam di Terengganu," tambah beliau.
12 Oct 23
1592
Kampung Melayu Lama, Cina Diangkat Aset Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Kerajaan Negeri sedang berusaha memulihkan semula Kampung Melayu Lama dan Kampung Cina di negeri ini untuk dijadikan sebagai aset pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah meneliti pelbagai perkara yang perlu ditambah nilai.
Katanya, tinjauan sudah dilakukan di beberapa kampung Melayu Lama sebelum ini dan pada hari ini pihaknya meninjau Kampung Cina.
"Antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah kebersihan, keceriaan dan beberapa lagi aspek yang perlu diberi perhatian.
“Dari sudut masa berniaga juga perlu dipanjangkan sehingga jam 12 supaya pengunjung lebih ramai di sesuatu kawasan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri walkabout Kampung Cina bertempat di Pintu Gerbang Kampung Cina di sini hari ini.
Dalam tinjauan tersebut, Razali berkata pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan beberapa NGO untuk menjalankan program bagi memeriahkan kawasan berkenaan.
"Supaya peniaga di sini dapat berniaga sehingga pukul 12 malam dengan adanya orang datang.
“Selain itu, antara perkara yang perlu diberi tumpuan adalah kebersihan yang merupakan perkara pokok dalam pelancongan.
“Kebersihan juga tidak terletak kepada penguatkuasaan sahaja tapi komuniti juga perlu memberi peranan,” ujarnya.
11 Oct 23
478
Terus Didik Pelancong Dengan Etika Berpakaian
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Kerajaan Negeri akan terus mendidik pelancong bukan Islam dan Islam mengenai etika berpakaian bersesuaian agar tidak timbul kecelaruan dalam kalangan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya juga bercadang untuk menjelaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) pemakaian antara dua kategori pelancong itu.
Katanya, pelancong bukan Islam tidak perlu bimbang kerana Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan hanya dikuatkuasakan kepada individu muslim.
“Pelancong bukan Islam akan diberi penerangan agar tidak berpakaian melampau sehingga boleh menimbulkan keghairahan.
“Sejak pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022, terutama membabitkan Seksyen 34, iaitu perbuatan atau berpakaian tidak sopan di tempat awam dikuatkuasakan, tiada pelancong bukan Islam dikenakan tindakan dan hukuman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pesta Peranakan Cina, di sini, kelmarin. Mengulas lanjut, bagi pelancong muslim pula, individu yang berpakaian mendedahkan mana-mana bahagian tubuh sehingga menimbulkan keghairahan di tempat awam akan diberikan didikan terlebih dahulu sebelum dikenakan tindakan.
"Kaedah mendidik oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) membuktikan semua pelancong termasuk bukan muslim menerima baik penjelasan diberikan," tegasnya.
11 Oct 23
266
13 Kategori Perlumbaan 'Hangatkan' IGMR 2023
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - International Golden Monsun Ride (IGMR) 2023 menawarkan 13 kategori perlumbaan melalui kejohanan edisi ketiganya pada 16 Disember ini.
Kategori dipertandingkan ialah Men Elite, Men Open dan Junior, Master A,B,C, Women Open dan Master, Heavyweight, Fat Bike Open, E-Bike Open dan Gravel Bike Open.
Satu lagi kategori ialah kayuhan Fun Ride Open yang menampilkan pelumba-pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).
Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun berkata, IGMR menawarkan hadiah keseluruhan berupa wang tunai berjumlah RM31,000.
"Acara sukan berbasikal ini akan diadakan di Teluk Kalong ,Kemaman.
"Peserta-peserta bagi semua 13 kategori akan menempuhi laluan beberapa destinasi pelancongan dan trak 'off road' di Kijal dan Kemasik," katanya dalam ucapan alu-aluannya pada Pra Pelancaran IGMR 2023 di KTCC Mall, hari ini.
Lebih menarik, acara tahun ini turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai RM120,000 dengan hadiah utama berupa sebuah kereta Perodua Myvi 1.3 Auto.
Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim.
Turut hadir, timbalannya Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli, pengurusan EPIC Berhad serta ketua-ketua syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc.
Pendaftaran dibuka kepada orang ramai sehingga pertengahan November melalui pautan https://bit.ly/DaftarIGMR2023 dengan tawaran 'early bird' sah sehingga 15 Oktober ini.
Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook kejohanan- IGMR 2023.
05 Oct 23
401
Kerajaan Perlu Fokus Majukan 'Lidah Terengganu'
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Pulau Duyong yang dikenali sebagai 'Lidah Terengganu' perlu diberikan tumpuan untuk dimajukan serta diterokai sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid berkata dengan keistimewaan yang dimiliki di Pulau Duyong itu ia mampu menjadikannya sebagai destinasi pilihan popular bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.
"Diharap kerajaan negeri dapat meneliti dan melihat kembali Pulau Duyong ini dengan keunikan serta kepelbagaian aset yang telah ada seperti menjadi tempat pembuatan replika bot serta Kota Lama Duyong.
"Saya difahamkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) satu masa dahulu dengan kerjasama Taman Tamadun Islam pernah mejadikannya sebagai salah satu tempat persinggahan 'river cruise'.
"Adalah menjadi harapan agar lokasi ini, juga kampung Seberang Bukit Tumbuh dan Jeti Lama Seberang Takir dapat dijadikan semula sebagai suatu destinasi persinggahan 'river cruise'," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa sesi Perbahasan Titah Diraja pada Mesyuarat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya kini juga sedang berusaha bagi menarik pengunjung ke Pulau Duyong itu dengan mewujudkan pelbagai aktiviti sukan air termasuk kayak.
"Semua perancangan ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak, justeru amat diharpakan agar mendapat kerjasama pihak pelancongan dan juga agensi terlibat untuk memajukan Pulau Duyong ini sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat," ujarnya.
03 Oct 23
683
Zuraida Gesa Kerajaan Kuatkuasa Garis Panduan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Pemerkasaan pelaksanaan syariah perlu ditingkatkan dalam usaha membina kefahaman pengunjung luar terhadap usaha Terengganu sebagai pemangkin Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor menyatakan kegusaran apabila sebahagian pelancong Muslim yang semakin berani melanggar Garis Panduan Pelancongan yang diwujudkan kerajaan negeri.
"Di sini terdapat dua kemungkinan samada, masih ramai tidak tahu akan kewujudan garis panduan pelancongan ataupun mereka tahu tetapi, semakin berani memakai pakaian mencolok mata dan melanggar batas kerana tiadanya penguatkuasaan," katanya ketika membahaskan Titah Diraja dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15, di sini hari ini.
Tegasnya, kerajaan negeri melalui agensi terlibat perlu mengambil inisiatif lebih agresif dalam memperkasakan Garis Panduan Pelancongan yang telah dilancarkan bersama Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan Negeri Terengganu.
"Besar harapan saya agar pemantauan dilaksanakan di semua agensi dan jabatan kerajaan.
"Saya yakin ini termasuk manifestasi dakwah Islamiah dan komitmen kerajaan dalam menuju Negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya.
03 Oct 23
130