BESUT, 7 Oktober – Program mesra rakyat seperti Karnival YB Cakna Rakyat menjadi antara pendekatan penting bagi memperkukuh hubungan silaturahim serta keharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, penganjuran program berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat menyertai aktiviti sukan, malah menjadi medan untuk mengeratkan hubungan antara penduduk, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan kepimpinan setempat.
Menurutnya, penglibatan masyarakat dalam pelbagai acara sukan rakyat yang dianjurkan di Kuala Besut Square membuktikan sambutan positif terhadap program yang memberi peluang kepada penduduk meluangkan masa bersama keluarga dan jiran tetangga.
“Yang penting bukan semata-mata kemenangan, tetapi semangat kesukanan dan hubungan silaturahim sesama kita yang semakin erat.
“Insya-Allah, program-program mesra rakyat seperti ini akan terus kita anjurkan demi kesejahteraan dan keharmonian warga Kuala Besut,” jelasnya.

Penganjuran program itu turut mendapat kerjasama JPKK Kuala Besut serta pelbagai pihak yang bersama-sama memastikan aktiviti berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menurut Azbi, pendekatan turun padang melalui program komuniti perlu diteruskan sebagai usaha memastikan hubungan antara kepimpinan dan masyarakat di peringkat akar umbi sentiasa dekat dan terbuka.
Katanya, penglibatan aktif komuniti dalam program seumpama itu juga dapat membina semangat kebersamaan serta mewujudkan persekitaran masyarakat yang lebih harmoni.
