Jalur Gemilang
Berita :
Karnival Bersamamu Rakyat Bukit Tunggal Meriah
Karnival Bersamamu Rakyat Bukit Tunggal Meriah
Noraini Jusoh
15 jam yang lepas
216

Oleh : Muhammad Safwan Syakir Mohd Noor

KUALA NERUS, 14 Oktober - Program Karnival Bersamamu Rakyat DUN Bukit Tunggal 2026 yang berlangsung di perkarangan Masjid Gong Kijang mencatat sambutan menggalakkan.

Program berteraskan konsep Indahnya Hidup Bersyariat itu dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Gong Kijang pada 9 hingga 10 Oktober lalu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat setempat.

ADUN Bukit Tunggal, LSr. Zaharudin Zahid berkata, sambutan yang diterima sepanjang program berlangsung membuktikan semangat kebersamaan masyarakat dalam menjayakan aktiviti yang menghimpunkan pelbagai lapisan umur dan keluarga.

“Program yang berlangsung selama dua hari itu dimulakan dengan Pasar Berkat yang mendapat sambutan luar biasa sehingga beberapa barangan jualan seperti tulang, daging, ayam dan telur habis terjual pada awal pagi.

“Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan memasak dan pertandingan gubahan bunga,” ujarnya.
Menurut beliau, pada sebelah malam, pengunjung dihiburkan dengan persembahan kumpulan nasyid Irhamna dan Inteam menerusi program Berselawat yang menyemarakkan suasana dengan alunan selawat serta penghayatan kecintaan kepada Rasulullah S.A.W.

Katanya, hari terakhir program menyaksikan hampir 1000 peserta menyertai Brisk Walk Keluarga sejauh 3.5 kilometer dengan mengenakan busana Melayu tradisional, sekali gus menampilkan kelainan dan memeriahkan suasana program.

“Keunikan itu turut diserikan dengan pemberian hadiah kepada peserta yang mengenakan busana tradisional paling menarik.

“Program diteruskan dengan acara sukan rakyat, cabutan bertuah dengan hadiah utama wang tunai RM2,000 serta Jamuan Rakyat yang disediakan untuk kira-kira 1,500 orang,” ujarnya.
Katanya, penganjuran program itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah memperkukuh ukhuwah, mengeratkan hubungan antara penduduk dan kepimpinan serta menyemarakkan semangat bermasyarakat demi kesejahteraan rakyat Terengganu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak masjid, agensi kerajaan, pasukan RELA, urus setia serta semua pihak yang memberikan kerjasama bagi memastikan kelancaran program.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan