Jalur Gemilang
Berita :
EPIC Berhad Terus Pacu Kecemerlangan Graduan UC TATI
EPIC Berhad Terus Pacu Kecemerlangan Graduan UC TATI
Mastura Jamal Din
19 jam yang lepas
138

KEMAMAN, 13 Oktober – Komitmen melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi terus menjadi keutamaan EPIC Berhad apabila syarikat itu meneruskan tajaan Anugerah Industri kepada graduan cemerlang University College TATI (UC TATI) bagi tahun kedua berturut-turut.

Inisiatif itu bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik, malah mencerminkan usaha berterusan EPIC Berhad dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan industri, khususnya dalam melahirkan graduan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili, menyampaikan Anugerah Industri kepada empat graduan cemerlang peringkat ijazah sarjana muda daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan serta Fakulti Komputer, Media dan Pengurusan Teknologi.

Katanya, pemilihan penerima dibuat berdasarkan pencapaian akademik sepenuhnya sebagai penghargaan terhadap usaha, dedikasi dan kecemerlangan mereka sepanjang tempoh pengajian.

Dr. Ts.Muhtar yang juga Profesor Adjung di Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekatronik UC TATI juga berkata, kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi merupakan platform penting bagi menyokong pembangunan bakat yang diperlukan industri.

Menurutnya, EPIC Berhad yang juga rakan industri UC TATI dalam bidang berkaitan minyak dan gas berharap pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik serta perkongsian kepakaran dapat membantu melahirkan graduan berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

“Hubungan strategik dua hala ini jelas dapat membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan, pengalaman dan kepakaran industri, sekali gus merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan keperluan sebenar industri,” katanya.

Menurut beliau, tajaan tersebut disampaikan pada Majlis Konvokesyen UC TATI Kali Ke-26 yang berlangsung di kampus universiti itu di sini pada 10 Oktober lalu.

Tambahnya lagi, kerjasama EPIC Berhad dengan UC TATI turut diperluas dalam bidang teknologi dan inovasi menerusi anak syarikatnya, EPIC Solar Sdn. Bhd., yang bekerjasama dengan institusi itu dalam pembangunan EPIC Solar Car (ESCAR) sejak diperkenalkan pada 2023.

"Kerjasama berkenaan, termasuk penglibatan dalam beberapa aktiviti penyelidikan, membuka peluang kepada pelajar mengembangkan kemahiran teknikal, kreativiti dan budaya inovasi melalui pengalaman serta pendedahan kepada aplikasi industri sebenar," ujarnya.
Sementara itu, majlis konvokesyen berkenaan menyaksikan seramai 380 graduan diraikan, terdiri daripada 162 graduan diploma, 217 graduan ijazah sarjana muda dan seorang graduan sarjana.

Majlis turut mencatat sejarah tersendiri apabila meraikan kumpulan pertama graduan program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

EPIC Berhad menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi melalui pelbagai inisiatif yang menyokong kecemerlangan akademik, pembangunan bakat dan perkongsian kepakaran industri, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Terengganu dan negara.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan